KBS, MOM pilih untuk ‘berbaik’, lupakan mengenai dakwaan rasuah, fokus harus diberikan untuk martabatkan sukan
Selepas kontroversi melibatkan kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli mengenai amalan rasuah dalam badan sukan, Menterinya, Hannah Yeoh kembali menjernihkan keadaan apabila duduk bersemuka dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Perjumpaan itu dihadiri oleh barisan kepimpinan MOM diketuai oleh Tan Sri Norza Zakaria di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurut Hannah, pihaknya serta MOM mempunyai hala tuju yang sama dan mahu berganding bahu dengan badan itu bagi memastikan perancangan untuk sukan di negara ini berjalan lancar.
Beliau juga menegaskan tiada masalah antara KBS dan MOM dan tidak mahu memanjangkan isu mengenai dakwaan Adam itu, sebaliknya bekerjasama untuk sukan negara.
Ini adalah satu perkembangan yang baik buat arena sukan negara, lebih-lebih lagi pada saat ini ketika banyak sukan menunjukkan peningkatan yang baik.
Kerjasama antara badan sukan dan pihak kerajaan adalah amat penting dalam memastikan atlet mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi terutama dari segi dana dan perbelanjaan untuk fasiliti.
Tambahan pula, negara kini sedang dalam misi mengejar emas pertama di Sukan Olimpik pada edisi 2024 nanti di Paris, justeru tiada masa untuk bertelagah.
Kestabilan dari segi politik ‘orang atasan’ dalam bidang sukan amatlah penting dalam mencapai sasaran itu serta dalam meneruskan pembangunan sukan.
Hannah sendiri telahpun memberi pandangan serta kenyataannya berkenaan isu tersebut, diharapkan Adam turut tampil menjelaskan mengenai dakwaannya sebelum ini.
Menurut Hannah, penbantunya itu ketika ini sedang sibuk memberi tumpuan terhadap bencana banjir di Kelantan dan Terengganu.
Namun, sekiranya benar terdapat amalan rasuah dalam badan sukan di negara ini, perkara itu haruslah ditangani dengan saluran dan proses yang betul selepas ini.
Sementara itu, Hannah turut menyentuh mengenai bajet untuk sukan dengan menyatakan perkara itu hanya akan diketahui selepas selesai pembentangan di Dewan Rakyat.
Sebelum Pilihan Raya Umum lalu, kerajaan terdahulu telah memperuntukkan sebanyak RM322 juta bagi melaksanakan program latihan serta fasiliti sukan negara.
Badan-badan sukan serta peminat sukan pastinya ternanti-nanti sekiranya terdapat perubahan dalam bajet tersebut dan perancangan dari segi kewangan yang akan dilakukan oleh barisan pengurusan KBS kali ini.