Kalau RTM boleh siarkan perlawanan Piala Dunia 2022, mengapa Piala AFF tiada?

1,982

Kejohanan Piala AFF 2022 sudah pun berlangsung dan pasukan kebangsaan Malaysia sudah pun beraksi dalam perlawanan pertama Kumpulan B yang menyaksikan mereka berjaya menang 1-0 menentang Myanmar.

Disebalik kegembiraan peminat apabila skuad Harimau Malaya mengutip tiga mata penuh di tempat lawan, namun ramai yang meluahkan rasa kecewa apabila tiada siaran langsung disiarkan di saluran televisyen kebangsaan RTM.


Sebaliknya perlawanan membabitkan pasukan Malaysia hanya disiarkan di saluran berbayar dan ini telah membuatkan ramai yang kecewa kerana saluran televisyen kerajaan seolah-olah tidak bersikap double standard kepada pasukan kebangsaan.

Sedangkan RTM menjadi satu-satunya saluran televisyen yang memaparkan perlawanan Piala Dunia 2022 baru-baru ini secara langsung yang menyaksikan sebanyak 41 perlawanan disiarkan secara langsung dan 14 siaran tertunda.

Tetapi persoalannya mengapa RTM tidak membeli hak untuk menyiarkan siaran langsung perlawanan Piala AFF membabitkan pasukan kebangsaan? Adakah disebabkan ketua jurulatih Kim Pan-gon membawa pasukan kedua menyebabkan mereka tidak berminat?

Perkara ini bukan terjadi kepada peminat Malaysia juga, tetapi juga berlaku kepada peminat Thailand yang berang apabila tiada siaran langsung perlawanan membabitkan skuad Gajah Perang dek tiada stesen televisyen.

Tindakan ini berkemungkinan kerana pihak stesen televisyen merasakan tiada keperluan untuk menyiarkan perlawanan yang membabitkan skuad kedua Thailand kerana pada Piala AFF edisi kali ini hampir kesemua pasukan yang bertanding tidak membawa skuad utama mereka.

Antara faktor lain mungkin menjadi sebab mengapa tiada stesen televisyen ingin membeli hak siaran adalah kerana Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar baru sahaja melabuhkan tirai dan rata-rata peminat masih bercakap mengenai kejohanan tersebut sekaligus menenggelamkan kejohanan Piala AFF.

Peminat yang disajikan dengan kualiti permainan berkelas dunia termasuk kualiti pengadilan moden dengan penggunaan VAR (video assistant referee) selama sebulan nyata berasa sedikit janggal apabila melihat aksi yang dilihat sebagai perlawanan biasa sahaja.

Malah kualiti permainan dan pengadilan juga jauh berbeza menyebabkan peminat mula membandingkan antara perlawanan di Piala Dunia dan juga Piala AFF kali ini.

Ya, sememangnya tidak adil untuk membandingkan antara kedua-dua kejohanan ini kerana semua sedia maklum Piala Dunia adalah kejohanan paling berprestij di dunia yang menyaksikan sebanyak 32 pasukan terbaik dunia sahaja yang layak beraksi.

Oleh itu, tidak hairan kualiti permainan yang dipamerkan cukup berkelas dunia, ditambah pula dengan penggunaan teknologi untuk membantu pengadil mengadili perlawanan tanpa sebarang kontroversi membuatkan ia lebih menarik.

Piala AFF yang membuka tirainya selepas dua hari tamat Piala Dunia telah membuatkan ramai peminat mengambil keputusan untuk ‘berehat’ seketika dari menonton bola sepak kerana sudah puas menyaksikan 64 perlawanan yang cukup menakjubkan.

Adakah Piala AFF kali ini akan terus tidak dapat sambutan hingga ke perlawanan akhir? Sama-sama kita tunggu.

Bagaimanapun untuk peminat di Malaysia, teruskan memberi sokongan padu buat skuad Harimau Malaya walau sesiapa pun pemain yang diturunkan kerana peminat adalah pemain ke-12 untuk setiap pasukan.

Jadi ayuh penuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember ini untuk menyaksikan skuad negara menentang Laos.