Richard Chin terus cemerlang, pastikan Charlton Athletic jadi satu-satunya kelab bukan EPL yang masih bertahan di Carabao Cup

1,652

Pemain muda kacukan Malaysia-England, Richard Chin terus menyinar bersama kelabnya, Charlton Athletic.

Kali ini, beliau berjaya memastikan pasukan tersebut melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam saingan Carabao Cup tahun ini.


Charlton yang beraksi di divisyen ketiga berjaya menewaskan pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton & Hove Albion menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan masa sebenar berakhir tanpa sebarang jaringan.

Meskipun Brighton lebih mendominasi perlawanan dengan 78%, kekebalan kubu pertahanan Charlton memastikan tiada jaringan yang dapat dilakukan.

Chin beraksi yang diletakkan sebagai pertahanan kanan pasukan sepanjang 120 minit perlawanan berhasil mengekang asakan demi asakan yang dilakukan oleh pemain lawan.

Ini merupakan pencapaian yang cukup memberangsangkan buat pemain muda berusia 20 tahun tersebut tatkala beliau perlu menghadapi pemain-pemain yang jauh lebih berpengalaman seperti Adam Lallana, Leandro Trossard serta pemain lincah dari Jepun, Kaoru Mitoma.

Kemenangan ini membolehkan pasukan Charlton melayakkan diri ke pusingan suku akhir Carabao Cup pada musim ini.

Ini bukan kali pertama Chin beraksi cemerlang, beliau sebelum ini telah memainkan peranan yang agak penting di dalam kempen Charlton kali ini.

Selepas empat pusingan Carabao Cup yang dilalui oleh Charlton, Chin telah memperoleh 67% minit permainan dan 75% daripadanya adalah sebagai pemain kesebelasan utama pasukan.

Malah untuk saingan liga, beliau juga semakin mendapat tempat walaupun baru sahaja beraksi untuk empat perlawanan setakat ini.

Namun, ia adalah petanda yang cukup baik dan menunjukkan bahawa pemain ini ternyata memiliki peluang yang cerah untuk kekal bersama kelab ini dalam satu tempoh yang lebih panjang.

Sepanjang empat kali diturunkan, Chin berjaya membantu pasukan Charlton meraih tiga mata hasil daripada tiga keputusan seri dan hanya satu kekalahan iaitu pada aksi terakhir bertemu Bristol Rovers.

Statistik yang dikumpulkan oleh beliau pada ketika ini dilihat agak baik untuk seorang pemain muda bagi bersaing di peringkat yang agak tinggi lebih-lebih untuk negara seperti England yang cukup terkenal dengan saingan kompetitif yang mencabar.

Setakat ini, masih belum ada sebarang perkhabaran terbaru terhadap proses pendokumentasian beliau.

Mungkin akan mengambil masa yang jauh lebih lama untuk kita melihat pemain ini mula menyarung jersi negara terutama sekali di peringkat umur B-23.