Ada ke usahawan berjiwa bola sepak mahu beri habuan jika Malaysia julang Piala AFF seperti yang dilakukan Mademe Pang kepada skuad Thailand?

1,028

Bagi peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara, nama Nualphan Lamsam atau lebih dikenali dengan Mademe Pang bukan asing dalam dunia bola sepak di rantau ini kerana ramai yang mengenalinya sebagai pengurus pasukan Thailand.

Bagi yang tidak mengenali Madame Pang, beliau merupakan seorang usahawan yang cukup berjaya dan merupakan pemilik kelab bola sepak yang beraksi di Thai League 1 iaitu Port FC, namun disebabkan cintanya terhadap pasukan kebangsaan membuatkan beliau turut menjadi pengurus besar untuk pasukan itu.


Madame Pang sangat terkenal dengan sikap patriotiknya dan akan sentiasa bersama skuad Gajah Perang itu dalam setiap perlawanan yang diharungi mereka.

Terbaru, kelibat wanita itu dapat dilihat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras selepas hadir untuk menyaksikan perlawanan Piala AFF 2022 membabitkan Thailand menentang Brunei yang menyaksikan pasukannya berjaya menang 5-0.

Bagi menaikkan lagi semangat pemain-pemainnya untuk mempertahankan gelaran juara Piala AFF yang dimenangi mereka pada edisi lalu, Madame Pang baru-baru ini telah mengumumkan bahawa beliau akan memberikan bonus lebih RM638,000 kepada pasukan sekiranya mereka berjaya layak sehingga ke peringkat separuh akhir.

Apa yang mengkagumkan adalah bonus yang dijanjikan itu adalah wangnya sendiri dan bukannya wang daripada Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).

Tindakan yang dilakukan oleh Madame Pang itu adalah sesuatu yang cukup hebat dan patut dicontohi oleh sesiapa sahaja yang mempunyai jiwa bola sepak seperti wanita itu.

Persoalannya kini, adakah usahawan berjaya di Malaysia ada yang akan mengikut jejak langkah Madame Pang untuk memberi habuan kepada pasukan kebangsaan jika capai kejayaan di Piala AFF nanti?

Kita mempunyai ramai usahawan yang mempunyai jiwa dalam dunia bola sepak antaranya Tan Sri Vincent Tan yang dikenali sebagai seorang peminat bola sepak.

Malah beliau sendiri mempunyai beberapa kelab bola sepak di Eropah termasuk Cardiff City FC (England), FK Sarajevo (Bosnia and Herzegovina) dan K.V. Kortrijk (Belgium).

Walaupun Vincent Tan tidak mempunyai kelab bola sepak di Malaysia, namun dengan kedudukan dan status beliau termasuk sebagai pencinta bola sepak, mungkin beliau juga boleh melakukan perkara sama dengan menawarkan habuan buat skuad Harimau Malaya sekiranya mereka berjaya julang Piala AFF kali ini.

Ini kerana kali terakhir Malaysia menjulang trofi ini adalah pada tahun 2010 dan jika ada habuan yang menanti ia pasti akan menjadi tonik tambahan buat pemain untuk beraksi dengan lebih baik lagi sekaligus sebagai penghargaan buat pemain yang sanggup mengenepikan cuti hujung musim mereka demi tanah air tercinta.