Kim Pan-gon mahu Harimau Malaya dapatkan gol sebanyak mungkin menentang Laos untuk kejar perbezaan gol

708

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon memberitahu sekiranya skuad negara mahu berada di puncak Kumpulan B mereka perlu mengutip tiga mata penuh apabila menentang Laos esok.

Menurut Pan-gon, selain tiga mata penuh, beliau juga mahu mengejar perbezaan gol selepas Vietnam membelasah Laos 6-0 pada perlawanan pertama baru-baru ini.


“Sasaran kita adalah untuk menang dan jika kita mahu berada di puncak kumpulan kita perlu kejar perbezaan gol juga kerana Vietnam sudah jaringkan 6 gol dan kita baru jaringkan 1 gol jadi kita ketika ini kurang 5 gol,”

katanya.

Pan-gon bagaimanapun tidak mahu terlalu memandang rendah kepada Laos kerana mereka pastinya akan bangkit untuk memastikan mereka tidak lagi dimalukan dengan jaringan besar.

Beliau berkata barisan kejurulatihan akan berbincang dengan teknikal pasukan untuk mengenal pasti setiap kelebihan dan kelemahan pasukan untuk merencana strategi ampuh berdepan Loas esok.

Dalam pada itu, pengendali dari Korea Selatan ini juga berkata beliau sedang menanti keputusan laporan perubahatan daripada pegawai perubatan mengenai keadaan pemain yang mengalami kecederaan terutamanya Khuzaimi Piee yang sebelum ini dilaporkan berkemungkinan besar tidak dapat meneruskan kejohanan Piala AFF 2022 selepas mengalami kecederaan pada perlawanan pertama menentang Myanmar.

“Selepas pulang dari Myanmar, kami kini sedang fokus dengan sesi pemulihan dengan beberapa pemain mengalami kecederaan dan kami sudah menghantar kesemua pemain tersebut ke hospital untuk melakukan pemeriksaan dan kini sedang menunggu laporan penuh daripada pegawai perubatan dan saya berharap semuanya akan okay.”

Pan-gon pada masa sama turut mengakui jadual kejohanan Piala AFF kali ini sangat padat kerana mereka tidak mempunyai masa yang panjang untuk berehat tetapi beliau memuji kesemua pemain negara yang dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

Malaysia akan menentang Laos pada 24 Disember dalam perlawanan kedua Piala AFF 2022 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.