Brendan Gan akan main di mana-mana sahaja posisi yang dikehendaki oleh Kim Pan-gon

459

Pemain tengah pasukan kebangsaan Malaysia, Brendan Gan bersedia untuk bermain di mana sahaja posisi yang dikehendaki oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon.

Brendan berkata, beliau meletak kepercayaan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan dan teknikal kerana mereka sudah membuat analisis lengkap mengenai pemain-pemain negara termasuk dirinya, oleh itu mereka lebih tahu seseorang pemain itu mampu menyerlah di posisi mana.


“Saya seorang pemain yang jika jurulatih minta saya jadi penjaga gol, saya akan jadi penjaga gol. Di posisi pun saya bermain ia tidak penting termasuk mana-mana pemain lain kerana barisan kejurulatihan sudah membuat analisis lengkap mereka terhadap setiap pemain dan mereka tahu setiap kemampuan dan kelemahan pemain.

“Oleh itu mereka tahu di mana mahu meletakkan pemain di posisi yang tepat yang pemain boleh menyerlah. Jadi jika barisan kejurulatihan berkata kami sesuai bermain di sesuatu posisi, kami meletak kepercayaan penuh yang kami mampu melakukannya,”

Skuad Harimau Malaya akan menentang Laos dalam perlawanan kedua Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok (24 Disember).

Pada perlawanan pertama di tempat lawan, skuad negara berjaya membenam Myanmar 1-0 untuk membawa pulang tiga mata dan kini berada di puncak Kumpulan B bersama Vietnam yang berjaya membelasah Laos 6-0.

Dalam pada itu, Brendan menyedari kehendak Pan-gon yang mahu mereka mengejar perbezaan gol dengan Vietnam pada perlawanan esok, namun beliau enggan terlalu memikirkan perkara itu sangat sebaliknya fokusnya adalah untuk bermain dengan baik esok untuk memperoleh kemenangan.

“Sebagai pemain kami sentiasa mahu menjaringkan gol sebanyak mungkin. Kadang kala menjadi, kadang kala tidak, jadi kami akan turun esok dengan perancangan yang telah ditetapkan oleh jurulatih dan jika kami berjaya lakukan dengan baik kami boleh rapatkan jurang gol dengan Vietnam.”

Sementara itu, pemain berusia 34 tahun itu berkata untuk perlawanan esok beliau dan rakan sepasukan sudah pun melihat perlawanan di antara Laos dan Vietnam dan pasukan teknikal akan memberi mereka lebih maklumat mengenai perancangan taktikal menentang Laos.

“Kita mempunyai pasukan teknikal terbaik yang memberi banyak maklumat kepada kami untuk menerapkan corak permainan terbaik. Laos sebuah pasukan yang mempunyai struktur dan sistem permainan yang baik, jadi kami akan pastikan tidak bermain mengikut cara mereka sebaliknya kami akan bermain dengan cara kami sendiri untuk cuba meleraikan sistem permainan mereka dan mencari ruang dan peluang untuk menjaringkan gol.”