Beli tiket ‘online’ tapi ‘refund’ nak kena beratur, kenapa Tickethotline tak boleh pulangkan saja wang penyokong secara ‘online’

829

Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menurunkan harga tiket bagi Piala AFF sebanyak dua kali jelas menggembirakan para penyokong.

Ketika mengumumkan harga baru serendah RM30 tersebut, FAM turut memberitahu bahawa mereka yang telah membeli tiket dengan lebih awal akan dipulangkan semula lebihan wang yang telah dibayar (refund).


Setelah lama menunggu, Tickethotline, yang menguruskan penjualan tiket tersebut akhirnya mengumumkan bahawa pihaknya akan melakukan pemulangan secara fizikal.

Menurutnya, penyokong hanya boleh mendapatkan pulangan wang pada 24 Disember 2022 bagi tiket Malaysia menentang Laos, dan 3 Januari 2023 bagi tiket Malaysia menentang Singapura.

Kedua-duanya dilakukan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 2.30 hingga 9.30 malam dan tiada pemulangan selain daripada kedua-dua tarikh tersebut.

Perkara itu jelas menerima respon yang negatif daripada para penyokong yang mempersoalkan mengapa ia dilakukan secara fizikal sedangkan tiket hanya boleh dibeli secara atas talian.

Perkara ini sebenarnya tidak seharusnya berlaku memandangkan ia akan menyusahkan para penyokong yang perlu beratur untuk mendapatkan hak mereka kembali.

Antara luahan hati para penyokong.

Lebih-lebih lagi bagi penyokong yang datang dari jauh atau dari luar negeri, mereka terpaksa datang lebih awal semata-mata untuk mendapatkan baki wang kerana pada hari yang sama juga adalah perlawanan Malaysia.

Ini bermakna, penyokong harus beratur dua kali pada hari berkenaan, pertama untuk mendapatkan kembali wang mereka dan kedua untuk masuk ke stadium bagi menonton perlawanan.

Di zaman teknologi ini, seharusnya Tickethotline mempunyai cara yang lebih baik untuk memulangkan wang kepada penyokong daripada membebankan mereka untuk beratur.

Pihak berkenaan haruslah mengambil kira kesusahan yang akan dialami oleh penyokong, tambahan pula dengan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman sebelum ini memberitahu, penjualan tiket setakat Isnin lalu telah mencapai kira-kira 15,000 tiket.

Beliau berkata, sejak FAM mengumumkan penurunan harga, lebih ramai orang yang berminat mendapatkan tiket tersebut.

Tiket bagi perlawanan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil dijual pada harga RM30 untuk terbuka, RM50 untuk Premium, RM60 untuk Grandstand dan RM5 untuk kanak-kanak.