Pemain kacukan Malaysia-Jepun jadi sandaran baru Harimau Kumbang, ‘trend’ bawa pemain darah campuran semakin diterima luas di Liga Malaysia

2,511

Kelab Liga Malaysia ketika ini sudah semakin rancak membawa masuk pemain-pemain berdarah campuran untuk memperkuatkan cabaran pasukan pada setiap musim.

Budaya ini dilihat bermula sewaktu kemasukan pemain tengah negara, Brendan Gan sewaktu awal-awal kemunculan beliau bersama kelab seperti Sabah FA dan Kelantan FA kira-kira sepuluh tahun lalu.  


Perkara ini diteruskan lagi oleh kelab seperti Johor Darul Ta’zim FC yang dilihat rancak membawa pemain kacukan.

Antaranya adalah pertahanan kental, Corbin Ong serta pemain tengah berpengalaman, Natxo Insa yang ketika ini menjadi antara tonggak utama yang telah berjaya memacu JDT mencapai kejayaan demi kejayaan demi pentas tertinggi Asia.

Kini, mereka memiliki pemain yang lain seperti Matthew Davies, Junior Eldstal, Daniel Ting yang turut menjadi antara penyumbang kepada kecemerlangan yang dicapai ketika ini.

Tindakan ini tidak terhenti di sini dan sedang rancak dicontohi oleh kelab-kelab Liga Malaysia yang lain dalam usaha mereka untuk memantapkan lagi pasukan.

Terbaru, Penang FC secara rasmi telah mengikat seorang pemain kacukan Malaysia-Jepun, Ryu Yamaguchi yang baru sahaja berusia 22 tahun.

Dengan ketinggian 186 cm, beliau dilihat akan menjadi harapan baru Harimau Kumbang dalam memperkukuhkan lagi barisan pertahanan mereka yang dilihat sedikit longlai musim ini.

Justeru itu, mungkin tindakan membawa masuk lebih ramai pemain kacukan ini adalah satu perkara yang baik bukan sahaja buat pasukan malah dalam usaha untuk mengangkat kualiti liga tempatan dengan lebih tinggi.

Ada beberapa pemain kacukan yang sebenarnya memiliki potensi cukup besar dan masih muda namun tidak mendapat perhatian daripada kelab-kelab di Malaysia.

Pemain kacukan Malaysia-Singapura serta Jerman, Armin Maier jadi salah sebuah contoh pemain berdarah campuran yang gagal mendapat tempat.

Beliau pernah beraksi bersama beberapa kelab di sekitar Eropah seperti SV Heimstetten di Jerman serta kelab Switzerland, FC Kreuzlingen.

Armin pernah beraksi bersama beberapa kelab tempatan seperti Selangor FC II dan JDT II namun ia tidak kekal lama.

Selain Armin, ada juga pemain lain seperti penjaga gawang muda, Julian Bechler yang mempunyai darah Malaysia-Jerman.

Beliau sebelum ini beraksi bersama PDRM FC di dalam saingan Liga Perdana namun telah dilepaskan baru-baru ini susulan kontraknya yang telah berakhir.

Dengan usianya yang baru sahaja mencecah 21 tahun, beliau mampu menjadi sebuah prospek yang cukup besar kepada mana-mana kelab yang berani mendapatkan khidmatnya serta sanggup memberikan peluang beraksi bagi membuktikan kemampuan sebenar.

Tidak mustahil selepas ini akan ada lebih ramai pemain kacukan berjaya mendapatkan tempat di saingan Liga Super.

Kita mempunyai beberapa pemain yang kini beraksi di England seperti Kobe Jae Chong dan Richard Chin, namun mungkin terlalu awal untuk mereka membuat pilihan datang dan beraksi bersama mana-mana kelab di Malaysia.

Semestinya mereka ingin terus kekal di luar negara bagi membolehkan karier serta potensi yang dimiliki dapat terus dikembangkan.