Mariano Echeverria terima anugerah khas dari Argentina atas pencapaian julang Liga Perdana untuk JDT II
Pasukan JDT II berjaya menjulang trofi Liga Perdana, mengetepikan pesaing terdekat, Kelantan FC.
Individu yang menjadi arkitek kepada kejayaan menjuarai trofi itu adalah ketua jurulatihnya daripada Argentina, Mariano Echeverria.
Atas kejayaannya bersama pasukan JDT II itu, Echeverria baru-baru ini telah diberikan anugerah khas oleh persatuan kewartawanan Argentina, Circulo Periodistas Deportivos.
Jurulatih berusia 41 tahun itu mengambil alih JDT II pada musim ini, selepas meninggalkan kelab Argentina, Club Atletico Huracan sebagai pembantu jurulatih.
Sebelum itu, beliau pernah menjadi ketua jurulatih bagi sebuah lagi kelab Argentina iaitu Club Atletico Tigre dari 2018 hingga 2019.
Musim ini, beliau bukan sahaja berjaya membawa JDT II muncul juara Liga Perdana buat kali pertama, tetapi juga menggilap bakat-bakat muda seperti Feroz Baharduddin, Daryl Sham, Aysar Hadi dan Adam Farhan.
Ada diantara mereka yang telah berjaya dipanggil untuk skuad senior seperti Feroz dan Daryl.
Beliau berjaya meneruskan rekod baik warga Argentina di kelab itu, mengikut jejak beberapa jurulatih dan pemain sebelum ini seperti Mario Gomez, Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz, Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera.
Jelas ‘DNA Argentina’ yang diterapkan dalam kelab itu menjadi dan menjadi tunjang kepada kejayaan pasukan.
Argentina baru sahaja memenangi Piala Dunia lima hari lalu, justeru anugerah yang diterima ini pastinya menambahkan lagi kegembiraan Echeverria ketika ini.
Sejak mengalami proses transformasi pada 2013, pengaruh Amerika Selatan terutama Argentina menjadi asas kepada kekuatan JDT sehingga berjaya mengukuhkan statusnya sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Asia Tenggara ketika ini.
Jelaslah, keputusan untuk memberi tanggungjawab kepada Echeverria untuk mengendalikan JDT II amat berbaloi.