Kim Pan-gon gembira dengan kemenangan menentang Laos, mahu ‘hentam’ Vietnam pada perlawanan ketiga

7,303

Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon mengakui pasukannya masih belum berada di posisi selesa menjelang perlawanan ketiga Piala AFF 2022 menentang Vietnam pada 27 Disember ini Stadium My Dinh, Hanoi.

Pan-gon berkata demikian selepas tamat perlawanan kedua Kumpulan B yang menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya tewaskan Laos 5-0 malam tadi.


“Saya rasa kita belum cukup bagus kerana kita sebenarnya boleh jaringkan banyak gol lagi, tapi secara strateginya kami akan approach perlawanan nanti berbeza. Kami akan pergi ke Vietnam untuk hentam mereka,”

katanya.

Beliau pada masa sama berkata turut mahu pemainnya mengejar perbezaan gol apabila menentang Vietnam kelak kerana ia mampu memberi kesan pada kedudukan kumpulan pada penghujung saingan nanti.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut memuji anak buahnya yang telah memperlihatkan mereka benar-benar dahagakan kemenangan.

“Saya dapat rasai kesemua pemain pada malam ini mempunyai sikap dahagakan kemenangan. Saya gembira melihat mereka membuktikan mereka adalah pemain terbaik di negara.”

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan malam tadi, Pan-gon mengakui pemainnya sedikit bergelut pada separuh masa pertama apabila pihak lawan bermain secara bertahan dan tidak memberikan sebarang ruang.

“Saya galakkan mereka untuk lebih berani untuk buktikan kemampuan mereka dan saya beritahu mereka ‘kita tidak boleh lepaskan peluang yang ada, jadi peluang ada perlu digunakan sebaik mungkin’.”

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai status kecederaan Khuzaimi Piee, Pan-gon mendedahkan pemain itu mengalami kecederaan koyak di bahagian betis, namun barisan pegawai perubatan pasukan akan buat yang terbaik untuk pulihkan pemain itu secepat mungkin.