Faisal Halim tekad ‘jaga maruah’ bertemu Vietnam, ingin terus banggakan keluarga dan peminat Harimau Malaya

2,042

Pemain sayap negara, Faisal Halim tidak berasa gentar meskipun bakal bertemu dengan Vietnam di perlawanan ketiga Piala AFF.

Tambahan puala, ini akan menjadi kali pertama buat pemain lincah tersebut beraksi menentang pasukan gergasi Asia Tenggara tersebut bersama skuad utama negara.


“Esok adalah satu perlawanan yang sukar bertemu dengan Vietnam dan saya pertama kali bertemu mereka.

Sudah pastinya saya perlu terus berusaha menjaringkan gol untuk membantu pasukan,”

katanya kepada media.

Beliau juga optimis untuk terus memimpin barisan hadapan negara dalam tekad untuk membawa kemenangan kepada skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 24 tahun tersebut berjanji akan memberikan segala yang termampu bagi merealisasikan hasrat penyokong untuk melihat pasukan kali ini dapat mara ke suatu tahap yang lebih jauh berbanding edisi yang sebelumnya.

“Saya datang ke sini untuk membela maruah saya, maruah keluarga.

Saya ingin banggakan keluarga dan peminat Malaysia.”

Seperti sedia maklum, Kim Pan-gon telah menyenaraikan banyak muka baru pada kali panggilan kali ini.

Meskipun begitu, Faisal berharap agar para peminat akan terus memberikan sokongan tanpa henti kepada barisan pemain yang telah diberikan tanggungjawab pada kali ini.

“Sudah semestinya pertama kali peminat melihat senarai nama mereka tidak yakin dengan pemain yang dipanggil.

Tetapi saya sebagai seorang pemain, saya yakin dengan pasukan saya kerana mereka mampu melakukan tugas yang baik namun tidak diberikan peluang beraksi untuk skuad negara sebelum ini.”

Faisal kini mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan selepas mencatatkan tiga gol daripada dua perlawanan awal
sebelum ini.