Saya tiada niat jahat, ia hanya sekadar ‘banter’, saya memang kagum dengan pasukan JDT – Giancarlo Gallifuoco

20,431

Pemain KL City FC, Giancarlo Gallifuoco tidak bermaksud untuk menghina pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengenai hantarannya di Twitter selepas Piala Malaysia November lalu.

Menurutnya, beliau adalah seorang yang suka bergurau dan kenyataan yang dibuat itu hanyalah satu ‘banter’ dalam bola sepak.


“Semua orang tahu karakter saya yang suka berjenaka, ketika saya tonton perlawanan itu saya hanya fikir nak bergurau dan kemudian terus tidur.

Esoknya saya bangun dengan terkejut apabila melihat banyak notifikasi di telefon bimbit, termasuklah yang menghubungi dan menghantar teks, dan saya terus turunkan hantaran itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hantaran beliau di Twitter mengenai pemain JDT yang dikatakan hebat menjatuhkan diri di atas padang ketika perlawanan akhir Piala Malaysia mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Apa yang lebih mengejutkan menurutnya adalah pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menyebut namanya dalam satu komen di Instagram.

Menurut Gallifuoco, beliau sangat menghormati dan kagum dengan kejayaan pasukan JDT dan turut memberi sokongan kepada kelab itu apabila bermain di peringkat antarabangsa seperti AFC Champions League.

“Saya tak berniat jahat, saya kagum dengan kualiti mereka, ia hanyalah sekadar ‘banter’.

Saya harap mereka tahu saya ikhlas dan tidak ambil hati, saya sering sokong mereka dan tinggalkan komen yang positif terhadap beberapa pemain mereka di sosial media.”

Beliau turut bersyukur apabila ramai orang yang tidak dikenali turut meninggalkan pesanan yang positif kepadanya di sosial media selepas isu terbabit.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, pemain sayap kelab itu, Arif Aiman mempunyai potensi untuk mengembangkan sayapnya ke luar negara berdasarkan kualiti yang dimiliki.

Menurutnya, Arif mempunyai sikap, teknik dan kepantasan yang luar biasa dan menganggap beliau pemain muda terbaik di negara ini.