Pengadil dan jurulatih Indonesia dua-dua orang Korea Selatan, siap gelak ketawa ketika perlawanan – Mario Rivera

4,768

Ketua jurulatih Brunei, Mario Rivera tidak berpuas hati dengan pengadil yang ditugaskan pada perlawanan Piala AFF menentang Indonesia sebentar tadi kerana beberapa keputusan yang dianggap berat sebelah terhadap pasukannya.

Katanya, agak pelik apabila pengadil yang ditugaskan adalah berbangsa Korea Selatan, iaitu negara yang sama dengan ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong.


“Kami bekerja keras sepanjang tiga bulan setengah lalu untuk kejohanan ini tetapi pengadil menghancurkan perlawanan. Pada minit kelima anda dapat lihat pembantu pengadil bergelak ketawa dengan jurulatih Indonesia, ini tak boleh diterima.

Anda boleh bercakap dengan pengadil tetapi bergelak ketawa? Anda tidak menghormati bola sepak, anda tidak menghormati pemain. Mungkin mereka sedang makan di restoran Korea Selatan bersama-sama sekarang dan dibelanja oleh jurulatih Indonesia,”

katanya.

Menurutnya, anak-anak buahnya bermain dengan baik sehinggalah minit ke-38 apabila Alinur Rashimy dikenakan kad kuning kedua.

Beliau berkata, pemain itu tidak sepatutnya dikenakan kad kuning dan kesalahan itu juga tidak sepatutnya diberikan.

Katanya, jika inilah tahap pengadil di Piala AFF, sukar buat bola sepak di negara seperti Brunei untuk berkembang.

“Prestasi kami adalah baik sehinggalah insiden kad merah, sebelum itu kami bermain dengan baik di tahap yang kami mahukan, pemain saya juga menangis di bilik persalinan disebabkan kad merah itu.

Apa yang boleh saya katakan ia satu rompakan, mungkin selepas ini mereka boleh letakkan pengadil Sepanyol ketika menentang Kemboja untuk bantu saya pula.”

Selain itu, beliau turut mengkritik jadual padat Piala AFF yang menyebabkan pasukannya terpaksa mengharungi empat perlawanan dalam 10 hari.

“Saya tak tahu siapa yang buat jadual Piala AFF ini tetapi apa yang saya boleh katakan adalah dia tak tahu bola sepak.

Ketika ini ada dua orang pemain yang cedera dan selepas ini mungkin lebih ramai lagi yang akan cedera.”

Mengenai perlawanan terakhir menentang Kemboja, beliau berkata mahu pemain segera melupakan mengenai perlawanan sebelum ini dan cuba untuk mendapatkan kemenangan.

Katanya, mereka sentiasa menyasarkan untuk memperbaiki prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan bangga para pemainnya telah menunjukkan perkara itu.