Kejohanan Kelab Elit AFC 2024/2025 tiada had pemain import, apa kesan kepada Liga Malaysia?

3,905

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketika ini sedang dalam rangka memuktamadkan pengenalan kejohanan baru yang bakal memberi nafas baru kepada saingan bagi kelab-kelab yang berada di rantau ini.

Berdasarkan perkongsian yang telah dilakukan oleh badan induk tersebut, sebuah pertandingan yang diberi nama Kejohanan Kelab Elit AFC akan dilancarkan pada musim 2024/2025 kelak.


Terdapat pelbagai perubahan akan dibuat oleh pihak AFC bagi menambah baik nilai kejohanan sepertimana yang cuba dilakukan pada penganjuran AFC Champions League (ACL) setakat ini.

Kejohanan ini bakal disertai oleh 76 pasukan yang akan dipecahkan kepada tiga tier berbeza mengikut kiraan mata negara masing-masing.

Tier pertama akan melibatkan 24 pasukan dari negara ranking tertinggi dan bakal dipecahkan kepada dua kumpulan mengikut zon yang akan bersaing dalam format liga terlebih dahulu sebelum lapan pasukan teratas setiap zon melangkah ke pusingan kalah mati.

Manakala, untuk tier kedua, ia akan mengekalkan format sedia ada yang digunakan dalam saingan ACL melibatkan 32 pasukan dibahagikan kepada lapan kumpulan yang mengandungi empat pasukan setiap satu.

Tier ketiga pula hanya akan melibatkan 20 pasukan dan akan dipecahkan kepada lima kumpulan yang mengandungi empat kelab.

Antara perubahan terbesar yang paling menarik perhatian adalah pemansuhan kuota pemain import untuk kesemua pasukan yang bakal bertanding.

Ini akan menjadi salah satu anjakan terbesar buat kelab-kelab di Asia termasuk Malaysia tatkala sebelum ini AFC hanya menggunapakai kuota 3+1 dan berubah kepada 5+1 baru-baru ini.

Secara tidak langsung ia juga akan mengubah landskap Liga Malaysia memandangkan pasukan-pasukan yang bakal layak ke saingan ini kelak semestinya ingin memastikan mereka mampu memberi saingan kepada kelab dari negara-negara lain.

Terutama sekali, kelab yang mampu berbelanja besar seperti Johor Darul Ta’zim FC yang telah berjaya membuktikan tahap mereka sehingga berjaya mara ke saingan 16 terbaik Asia.

Sama juga dengan kelab-kelab lain seperti Sabah FC, Terengganu FC mahupun Selangor FC yang semestinya ingin mengelakkan diri mereka daripada menjadi mangsa belasahan kelab-kelab Asia lain yang menyenaraikan lebih ramai pemain import berkualiti pada saingan 2024/2025 kelak.

Jika pasukan seperti JDT ingin menumpukan kepada saingan Asia, semestinya mereka akan menambahkan pemain import namun tidak dapat menggunakannya sewaktu di peringkat domestik ekoran daripada had yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Mungkin juga akan ada penambahan kuota pemain import di Malaysia untuk selari dengan perubahan yang dilakukan oleh pihak AFC namun ia juga akan membebankan pasukan-pasukan tempatan lain yang tidak mempunyai kemampuan kewangan yang besar.

Sebagai contoh, pengenalan kuota 9 import musim hadapan bagi saingan Liga Super sebelum ini telah mendapat reaksi yang pelbagai daripada kelab serta penyokong yang melihat perkara ini hanya akan memberi kelebihan kepada kelab kaya.

Bagaimana kelab yang ingin menggunakan kebanyakan pemain tempatan ingin bersaing dengan kelab dengan lambakan pemain import sepertimana yang berlaku kepada PJ City musim ini.

Dalam pada itu, dengan kecaman demi kecaman yang diterima oleh JDT daripada penyokong-penyokong pasukan lain, tidak mustahil satu hari nanti kelab tersebut akan mengambil langkah berani mati untuk keluar dari saingan Liga Malaysia dan hanya menyertai saingan elit ini.

Senario ini sama seperti isu pengenalan liga elit Eropah yang hampir berlaku pada tahun 2021 yang lalu di mana beberapa kelab besar seperti Real Madrid, FC Barcelona dan Juventus hampir menyertai kejohanan tersebut.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa perubahan-perubahan yang telah direncanakan oleh pihak AFC akan memberi tambah nilai dan menjulang saingan peringkat Asia ke tahap yang jauh lebih tinggi selepas ini.

Terutama sekali, dalam memberi pulangan komersial berlipat kali ganda yang mampu memberi keuntungan lebih besar kepada kelab-kelab yang akan bersaing.