Lakukan lawatan ke JDT, harap KBS dapat ilmu berguna untuk tingkatkan tahap sukan, kualiti stadium di negara ini

1,296

Delegasi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam telah mengadakan satu lawatan ke stadium milik juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi meninjau fasiliti stadium tersebut.

Selain daripada meninjau SSI, delegasi yang diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu turut melawat Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam dan turut bertemu dengan pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Menerusi gambar yang dikongsi di media sosial, kelihatan wakil daripada JDT memberi penerangan mengenai fasiliti yang terdapat di kelab itu kepada delegasi KBS.

Menurut Hannah, pertemuan itu adalah sesuatu yang sangat baik bagi membincangkan infrastruktur dan pembangunan sukan dan belia di negara ini.

Umum mengetahui bahawa JDT sememangnya satu jenama yang besar dalam sukan di negara ini terutamanya dalam bola sepak.

Kelab itu juga telah meluaskan cengkaman mereka dalam sukan lain seperti hoki ais dan e-sukan di mana turut cemerlang mendominasi di negara ini.

Yang terbaru, kelab itu juga sedang dalam proses untuk menubuhkan pasukan futsal mereka untuk bertanding dalam kejohanan musim ini dan dijangka akan turut cemerlang.

Justeru ini adalah satu contoh yang baik buat KBS dalam memantapkan serta memperkasakan lagi arena sukan negara ini.

Siapa lagi yang perlu dicontohi jika bukan kelab yang boleh dikatakan mempunyai pengurusan terbaik di negara ini?

Bukan itu saja, diharapkan lawatan ini juga dapat membuka mata pihak KBS dalam meningkatkan kualiti stadium di bawah naungannya supaya mampu menjadi sehebat SSI.

Di bawah KBS, terdapat Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang menguruskan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) serta beberapa lagi kompleks sukan lain seperti Axiata Arena.

Sebelum ini, Hannah sendiri pernah turun padang untuk melihat padang di SNBJ, jadi dengan lawatan ke SSI ini, diharapkan beliau sedar perbezaan kualiti padang di kedua-dua stadium itu dan berusaha untuk meningkatkannya kerana ia merupakan rumah kepada pasukan bola sepak kebangsaan.

Penyokong tidak mahu lagi isu padang ‘banjir’ ataupun kawasan tandas yang dilimpahi air ketika hujan masih membelenggu stadium kebanggaan penyokong bola sepak negara itu.

Apatah lagi terpaksa meminjam kain kanvas daripada TMJ semata-mata untuk menjaga kualiti padang.

TMJ juga sebelum ini telah mengeluarkan duit daripada poket baginda sebanyak RM1.4 juta untuk menukar rumput di padang SNBJ kepada jenis Zeon Zoysia, tetapi prosesnya dilaporkan hanya akan bermula pada Mac ini.

Sementara itu, walaupun mempunyai stadium yang terbaik di Malaysia dan salah satu yang terbaik di Asia, JDT masih lagi melakukan kerja-kerja naik taraf di SSI untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Ini seharusnya dicontohi oleh kelab atau pihak lain bagi membolehkan Malaysia dianggap sebagai salah satu hub sukan terbaik di Asia.