Belum lagi lengkap tapi ‘line up’ dah padu, ada ke pasukan yang mampu nafi kejuaran ke-10 berturut-turut JDT?

3,955

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kepulangan bekas pemainnya, Diogo Luis Santo ke kelab itu untuk musim depan selepas dua tahun di Thailand bersama BG Pathum.

Sebelum ini, Diogo pernah menjadi penggempur untuk JDT pada 2019 hingga 2020 dan menjaringkan 16 gol daripada 32 perlawanan.


Selepas pengumuman Diogo itu, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada memuatnaik satu Instastory mengenai barisan pemain-pemain kelab itu pada musim depan.

Menggunakan formasi 3-4-3, baginda menunjukkan ’squad depth’ yang dimiliki JDT dengan empat lagi kekosongan pemain baru selepas Diogo diumumkan.

Berdasarkan ‘line-up’ tersebut, dapat dilihat bahawa JDT dibarisi pemain-pemain yang berkualiti bukan sahaja dalam kesebelasan utama tetapi juga pemain yang menjadi ‘back up’.

Seperti yang pernah diperkatakan baginda sebelum ini, pasukan itu tidak akan berbelanja besar musim ini dan hanya membawa masuk beberapa pemain bagi mengisi kekosongan.

Justeru kebanyakan pemain daripada musim cemerlang yang lalu masih dikekalkan dengan beberapa penambahan.

Musim lalu merupakan musim paling cemerlang pasukan itu sejak ditubuhkan apabila menyapu bersih semua kejuaraan domestik tanpa kalah, serta berjaya mara ke pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL) buat pertama kali.

Dengan skuad yang ada ditambah dengan beberapa lagi penambahan, JDT dilihat bakal tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kejuaran liga untuk 10 kali berturut-turut musim depan.

Pasukan yang dilihat mungkin boleh menjadi pencabar terdekat kepada JDT adalah Selangor FC yang menandatangani beberapa nama besar setakat ini seperti Faisal Halim, Ruventhiran, Khuzaimi Piee.

Di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe, Selangor bermain dengan lebih baik dengan rekodnya sebanyak tujuh kemenangan, dua seri dan dua kalah daripada 11 perlawanan.

Sejak mengambil alih pada 24 September lalu, Selangor sudah menunjukkan sedikit peningkatan dan musim depan sudah tentu mereka akan lebih berbahaya setelah semua pemain menyesuaikan diri dengan gaya Cheng Hoe.

Kelab lain yang dijangka mungkin bakal memberi saingan adalah Sabah FC, Terengganu FC dan juga Kedah Darul Aman FC.

Namun, kesemuanya mungkin tidak mempunyai ‘squad depth’ yang sama hebat jika dibandingkan dengan yang dimiliki oleh JDT, lebih-lebih lagi untuk mengharungi saingan liga yang semakin panjang musim depan.

Sementara itu, JDT juga telah mengumumkan bahawa pasukan itu akan mengadakan pra-musim di Dubai sekali lagi dan akan bertemu beberapa pasukan ternama seperti Zenit St. Petersburg dan Lokomotiv Moscow.

Ini juga dilihat satu sebab mengapa JDT mampu untuk mendominasi Liga Malaysia kerana sering beradu tenaga menentang pasukan-pasukan yang lebih hebat.