Konsert Jay Chou lambat lagi pada 15 Januari, kenapa tak buka saja 21,000 tempat duduk untuk penyokong?

4,987

Tak sampai 24 jam jualan tiket separuh akhir Piala AFF antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu ini dibuka, kesemua 59,000 tiket telah dijual sepenuhnya.

Namun, ramai penyokong yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kerana tidak berjaya mendapatkan tiket untuk ke perlawanan penting itu.


Ini kerana, sebanyak 21,000 tempat duduk tidak dijual gara-gara terdapat struktur pentas konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou yang sedang dipasang.

Setelah menyaksikan sambutan hangat penyokong pada perlawanan menentang Singapura Selasa lalu, sepatutnya dapat menjangkakan lebih ramai lagi yang akan hadir untuk perlawanan seterusnya.

Ini juga merupakan satu peluang buat penganjur untuk menjana pendapatan lebih memandangkan SNBJ kini memegang rekod kehadiran tertinggi pada peringkat kumpulan Piala AFF 2022 pada perlawanan Malaysia dan Singapura iaitu sebanyak 65,147 penyokong.

Selain itu, pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjual tiket iaitu Tickethotline juga turut tidak membantu kerana ramai yang mengadu laman web berkenaan tidak stabil dan perlahan ketika proses membeli tiket.

Situasi ini menyebabkan ramai pihak yang meminta kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi memastikan kesemua seksyen di SNBJ dapat dibuka pada perlawanan itu.

Mungkin kerana beliau berjaya berbincang dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menurunkan harga tiket sebelum ini, jadi ramai yang berharap beliau akan melakukan perkara sama bagi memastikan lebih ramai boleh hadir ke perlawanan berkenaan.

Selain itu beliau juga aktif dalam menyelesaikan beberapa isu hangat sebelum ini termasuk memastikan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memiliki kanvas mereka sendiri untuk melindungi padang daripada hujan dan turut masuk campur dalam kes pemain bola tampar Melaka B-14 yang ditampar jurulatih.

Namun, perkara itu dilihat sukar untuk direalisasikan olehnya memandangkan konsert tersebut sudah diberi pelepasan sebelum beliau menjawat jawatan itu lagi dan ia adalah di bawah kuasa PSM.

Persoalan itu sebenarnya harus ditujukan kepada pihak sebelum ini dan juga PSM yang dari awal telah tahu mengenai kejohanan Piala AFF yang akan dilangsungkan.

Tarikh mengenai kejohanan berkenaan juga telah diberitahu lebih awal justerus sepatutnya persediaan untuk menganjurkan kejohanan itu sudah dilakukan sejak awal.

Adakah FAM juga sudah berbincang daripada awal dengan pihak tertentu termasuk PSM mengenai venue perlawanan itu sejak dari awal lagi?

FAM memang tidak mempunyai kuasa mengenai apa-apa kejohanan atau acara yang berlaku di stadium itu memandangkan pihaknya juga turut menyewa, tetapi sekiranya persiapan dijalankan lambat tidak peliklah konsert Jay Chou itu juga telah diluluskan lebih awal.

Namun, konsert itu akan berlangsung pada 15 Januari, sepatutnya masih ada masa untuk memasang pentas itu selepas perlawanan menentang Thailand nanti.

Boleh saja jika struktur itu dialihkan terlebih dahulu untuk membuka kawasan tempat duduk di situ, dan kemudian dipasang selepas perlawanan Sabtu ini.

Bukan ke ini barulah situasi ‘win-win’ untuk semua pihak?