Masuk final pun tak akan setanding selebriti, rekod kehadiran kemungkinan besar tak dapat dipecahkan lagi

2,572

Penyokong Malaysia berjaya mencipta kebanggaan buat Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu lalu apabila mencatat rekod kehadiran tertinggi untuk peringkat kumpulan Piala AFF 2022 dengan seramai 65,147 kehadiran.

Ia jauh mengatasi kehadiran perlawanan antara Indonesia dan Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno yang mencatatkan 49,985 penonton.


Rekod itu turut mendapat pujian daripada pihak media luar negara yang kagum dengan sokongan padu yang diberikan oleh penyokong Malaysia.

Lebih-lebih kali apabila Malaysia tidak menyenaraikan ramai pemain yang berada dalam skuad kelayakan Piala Asia sebelum ini, ia tidak menghalang ramai penyokong untuk memenuhi stadium walaupun berlangsung ketika hari bekerja.

Namun satu khabar yang tidak baik adalah rekod tersebut tidak akan dapat dipecahkan kerana hanya 59,000 tiket yang dijual untuk perlawanan separuh akhir menentang juara bertahan, Thailand Sabtu ini.

Walaupun kesemua tiket tersebut telah berjaya dijual tidak sampai 24 jam, masih ramai peminat yang terus ‘bising’ dan ‘berang’ kerana tidak semua kawasan tempat duduk di stadium itu dibuka, menyebabkan mereka tidak berjaya mendapatkan tiket.

Sepatutnya, ini adalah peluang buat Malaysia sekali lagi mencatat rekod baru pada Piala AFF kali ini memandangkan ia berlangsung pada hujung minggu.

Agak pelik mengapa pihak berkenaan membenarkan penganjuran konsert Jay Chou yang turut berlangsung berdekatan tarikh perlawanan itu berlangsung.

Sekiranya Malaysia mara ke perlawanan akhir, perkara sama juga akan berlaku kerana tarikh perlawanan akhir adalah pada 13 dan 16 Januari manakala konsert Jay Chou pula pada 15 Januari.

Adakah pihak berkenaan memandang rendah keupayaan Harimau Malaya dan tidak menjangkakan mereka mampu layak ke pusingan seterusnya?

Sepatutnya, pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah menyusun jadual mengenai acara yang bakal berlangsung di SNBJ dan memastikan tiada acara berlainan yang bercanggah atau diadakan dalam tempoh yang dekat.

Tak kan sukan negara terutamanya bola sepak, tidak setanding konsert dan selebriti?

Ini dilihat satu kerugian buat ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan para pemain Malaysia yang pastinya mengharapkan sokongan padu daripada semua peminat.

Malah, pengendali Singapura dari Jepun, Takayuki Nishigaya sendiri mengakui bahawa anak-anak buahnya menghadapi kesukaran dan berada di dalam keadaan tertekan bermain di hadapan lebih 65,000 penyokong Harimau Malaya.

Sekiranya lebih ramai penyokong dibenarkan untuk hadir, tidak mustahil Malaysia berjaya menunjukkan permainan yang sama ketika menentang Thailand dan mencapai kemenangan.

Pengurus Thailand, Nualphan Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madam Pang juga turut mengakui tidak mudah untuk beraksi di SNBJ kerana penyokong yang ramai dan bertenaga.