Harimau Malaya di bawah Kim Pan-gon tiada kelemahan, mereka bermain demi lencana di dada – Amri Yahyah

672

Bekas pemain kebangsaan, Amri Yahyah menyifatkan skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan ketua jurulatih, Kim Pan-gon pada Piala AFF kali ini tidak mempunyai kelemahan.

Menurutnya, beliau melihat banyak peningkatan yang ditunjukkan oleh semua pemain dan percaya mereka mampu membawa negara ke perlawanan akhir.


“Setakat ini saya lihat banyak peningkatan dalam kalangan pemain dan mereka amat serasi serta bermain bersungguh-sungguh demi lencana di dada.

Saya lihat tiada kelemahan pasukan ini kerana mereka bermain bersungguh-sungguh untuk pasukan dan keluarga, mereka cuba untuk berikan kemenangan untuk negara,”

katanya.

Beliau berharap skuad ini mampu menumpaskan Thailand pada perlawanan separuh akhir, seterusnya mara ke perlawanan akhir dengan sokongan penyokong.

Katanya, tidak mustahil mereka mampu menumpaskan juara bertahan itu berdasarkan gaya permainan yang ditunjukkan.

“Saya harap mereka mampu beri saingan sengit esok dan bawa kemenangan kepada rakyat Malaysia.

Tidak mustahil mereka mampu menang kerana mereka bermain dengan sepenuh hati dan kerjasama antara mereka memang tinggi.”

Sementara itu, Amri ketika diminta mengulas mengenai masa depannya bersama pasukan Sabah FC musim depan enggan berbuat demikian.

Setakat ini, tiada lagi pengumuman daripada pihak Sabah sama ada pemain berusia 41 tahun itu akan terus bersama mereka lagi musim depan.