Afeeq Iqmal mahu jadi ‘top scorer’ KDA FC

585

Pemain muda berbakat besar, Afeeq Ikmal mahu membalas jasa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan menjadi penjaring terbanyak buat pasukannya pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Afeeq yang merupakan bekas pemenang Kasut Emas Liga Bola Sepak Menteri Besar Kedah pada tahun 2017 mahu mengulangi kejayaannya itu bersama skuad utama kendalian Aidil Sharin Sahak.


Pemain yang beraksi dalam skuad Piala Presiden dari 2018-2021 telah menarik perhatian Aidil setelah diberi peluang beraksi dalam perlawanan Liga Super ketika menentang KL City FC musim ini.

Corak permainannya berjaya menarik perhatian jurulatih sekaligus menandatangani pemain itu untuk bermain dengan KDA FC musim 2022.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira. Berkat dari usaha dan doa serta sokongan keluarga, saya berjaya memikat KDA FC untuk menandatangani saya.

Kepercayaan yang diberikan kepada saya akan saya balas dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan peluang dapat bermain dalam kesebelasan utama. Pada masa sama saya bersedia untuk bersaing dengan pemain-pemain senior lain untuk mendapat kepercayaan daripada jurulatih,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: KDA FC Facebook

Pemain berusia 22 tahun yang bermain di posisi penyerang ini tidak berasa sukar untuknya bersaing mendapat tempat biarpun posisi itu sering didominasi oleh pemain import atau pun penyerang tempatan berpengalaman.

“Saya tidak melihat perkara sebagai satu penghalang sebaliknya ia dapat membantu saya lebih fokus dan berusaha dengan lebih keras lagi, bukan untuk pasukan sahaja tetapi juga untuk karier saya sendiri.”

Dalam pada itu, Afeeq turut meluahkan rasa ralatnya apabila pemain ‘otai’ seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali sudah tiada lagi dalam pasukan selepas mereka berhijrah ke Sabah FC kerana mereka adalah pemain senior yang banyak membantu dalam meningkatkan kualiti permainannya.

“Saya berasa agak kecewa juga apabila kehilangan pemain yang sangat bernilai buat skuad KDA FC musim ini kerana Baddrol dan Rizal adalah antara pemain senior yang banyak bantu saya untuk tingkatkan kualiti permainan saya selain Syazwan Zainon dan Azzamuddin Akil.”

Walaupun kehilangan dua tonggak paling lama bersama KDA FC, namun Afeeq yakin skuad baru 2022 akan memberi saingan sengit dan mampu berada dalam top 3 Liga Super musim hadapan, selain rangkul kejuaraan Piala Malaysia dan Piala FA.

Sementara itu, Afeeq turut teruja apabila pasukan KDA FC akan bermain di saingan Piala AFC dan akan memberi prestasi terbaik sekiranya diberi peluang untuk bermain di peringkat tertinggi.

Pada masa sama Afeeq turut mahu pastikan dia sentiasa dalam tahap terbaik untuk mencerahkan peluangnya menyarung jersi Harimau Malaya.