Azam Azmi harap dapat bertemu Vietnam di ‘final’ untuk misi ‘balas dendam’

1,080

Pertahanan kebangsaan, Azam Azmi berharap Malaysia dan Vietnam akan bertemu pada perlawanan akhir Piala AFF supaya dapat ‘membalas dendam’ kekalahan dan insiden kad merah buat dirinya pada perlawanan sebelum ini.

Menurutnya, insiden itu memberi pengajaran dan pengalaman yang berharga buat dirinya, dan berazam tidak akan membiarkan perkara sama berulang lagi.


“Saya rasa kecewa dengan insiden tersebut tetapi ia sudah berlalu, ini adalah pengalaman baru bagi saya kerana tidak pernah menerima kad merah sebelum ini, jadi ia mematangkan saya.

Saya harap dapat jumpa pasukan Vietnam di perlawanan akhir untuk menebus semula kekalahan itu,”

katanya.

Menurut Azam, beliau sudah bersedia diturunkan pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Thailand Selasa ini sekiranya diperlukan.

Beliau menjangkakan perlawanan tersebut tidak mudah untuk Malaysia, dan seluruh pasukan harus memberikan yang terbaik untuk mengekang asakan Thailand.

“Kita tahu Thailand adalah satu pasukan yang bagus jadi kita kena kerja keras, saya jangkakan ia akan menjadi malam yang panjang buat kami.

Jika saya diturunkan sudah pasti akan bermain sepenuh hati, kita semua nak ke perlawanan akhir, saya harap kita tak benarkan lagi mereka jaringkan gol.”

Menurut Azam, beliau berasa ‘cemburu’ melihat rakan-rakannya bermain di atas padang sedangkan beliau terpaksa menghadapi penggantungan dua perlawanan.

Perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa ini.