FAM, MFL sudah setuju gunakan VAR, tetapi adakah kelab di Malaysia sudah bersedia?

602

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) akan dapat dilihat dalam saingan tempatan dalam masa terdekat.

Menurut TMJ, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) sudah bersetuju untuk menggunakan VAR.


Tambahnya, beberapa orang pengadil tempatan juga sudah dihantar untuk menjalani latihan mengenai penggunaan teknologi itu.

Ini merupakan satu langkah yang sudah lama ditunggu-tunggu dan sepatutnya sudah lama dipraktikkan dalam bola sepak moden.

Tambahan pula, Liga Malaysia memang tidak dapat lari daripada kontorversi melibatkan pengadil sejak sekian lama.

Bagaimanapun, persoalan yang timbul adalah sama ada penggunaan VAR akan dilaksanakan secara menyeluruh, pada venue tertentu sahaja, atau pada kejohanan tertentu sahaja.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, majoriti kelab tidak mampu untuk mempunyai teknologi VAR kerana ia menelan kos sekitar RM4 hingga RM6 juta.

Harus diakui, mengikut kemampuan kewangan mungkin tidak sampai separuh daripada pasukan Liga Super yang mampu memasang teknologi tersebut.

Lebih-lebih lagi majoriti pasukan tidak mempunya stadium sendiri, hanya pasukan JDT satu-satunya pasukan di negara ini yang memiliki stadium sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim.

Itu juga antara perkara yang dibangkitkan oleh Stuart dan menegaskan bahawa majoriti stadium di Malaysia juga tidak mempunyai infrastruktur untuk kelengkapan VAR.

Justeru pastinya pemasangan VAR akan menjadi kesukaran buat pasukan lain kerana harus berbincang dan mendapat kelulusan pihak stadium terlebih dahulu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi terdahulu memberitahu bahawa FAM bersetuju untuk menggunakan teknologi VAR dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia 2023.

Apa-apa pun, semua pasukan di negara ini haruslah bersedia dari sekarang sama ada dari segi kewangan serta teknikal untuk menggunakan teknologi VAR pada masa depan supaya ‘tidak terkejut’ apabila teknologi itu diimplementasi kelak.

Sampai bila lagi Liga Malaysia harus ‘dicemari’ dengan kelemahan pengadil yang mampu ‘membunuh’ pasukan tertentu.

Namun ini adalah satu langkah permulaan yang baik daripada FAM serta MFL bagi memastikan kontroversi melibatkan pengadil yang sering berlaku dalam saingan tempatan dapat dikurangkan.

Semua pihak harus berusaha untuk memastikan apa yang cuba direalisasikan oleh FAM dan MFL untuk bola sepak Malaysia menjadi kenyataan.