Bung Moktar undur diri dari SAFA, mampukah Sabah FC teruskan kecemerlangan tanpa ‘bantuan’ beliau?

1,847

Datuk Seri Bung Moktar Radin membuat keputusan mengejut hari ini apabila mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, peletakan jawatan yang disandangnya sejak Jun 2021 itu dibuat atas kerelaan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya politik.


Bung Moktar mula menjadi pemangku Presiden SAFA pada Disember 2020, sebelum dilantik sebagai Presiden dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa SAFA pada Jun 2021.

Menurutnya, beliau telah menghadapi banyak cabaran termasuklah daripada segi kekangan waktu dan sumber kewangan dalam menaikkan tahap bola sepak negeri itu.

Ketika beliau menjadi Presiden SAFA, tidak dinafikan pasukan Sabah semakin meningkat sehingga berjaya layak ke kejohanan Piala AFC untuk musim 2023 apabila menamatkan saingan liga di tangga ketiga.

Sabah juga mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia sejak 2018, sebelum ditundukkan oleh juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bung Moktar dilihat telah memainkan peranan yang amat besar dalam membawa beberapa perubahan besar buat kelab tersebut pada musim ini.

Dalam kalangan penyokong Sabah juga, beliau adalah individu yang disenangi kerana sentiasa dilihat terlibat secara langsung dalam apa yang dilakukan oleh kelab.

Dengan kekosongan yang ditinggalkan oleh Bung Moktar, tugas berat menanti individu yang akan menggantikan posisi beliau dalam persatuan itu.

Penglibatan ahli politik dalam bola sepak sememangnya mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri.

Namun jika sesebuah kelab bola sepak mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap seorang ahli politik, ia mampu membawa padah sekiranya berlaku perubahan dalam lanskap politik negara atau negeri.

Sabah ketika ini sedang menghadapi kemelut politik selepas Bung Moktar yang merupakan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah membawa BN menarik sokongan kepada kerajaan negeri.