JDT dinobatkan Ikon Sukan Persatuan/Kelab, tetapi ada yang rasakan KHM lebih layak berdasarkan pencapaian

1,702

Selepas mengharungi satu musim yang luar biasa dengan pelbagai kejayaan pada 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab dalam Anugerah Ikon Sukan Harian Metro semalam.

JDT menewaskan empat lain iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).


Seperti kata peribahasa ‘rumah sudah siap, pahat masih berbunyi’, walaupun pemenang sudah diketahui, masih terdapat pihak yang mempersoalkan barisan pemenang.

Kategori Ikon Sukan Persatuan/Kelab antara yang menjadi perdebatan kerana ada yang merasakan KHM yang berjaya membawa pasukan hoki negara melalui tahun yang cemerlang tahun ini lebih layak.

Tahun ini, pasukan hoki negara berjaya menjadi naib juara Piala Asia, sekaligus layak ke Piala Dunia di India yang akan bermula 13 Januari ini.

Ini juga merupakan kali ketiga berturut-turut pasukan hoki kebangsaan berjaya mara ke kejohanan Piala Dunia.

Selain itu, Speedy Tigers pada November lalu berjaya menjuarai Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas menewaskan gergasi Asia, Korea Selatan.

Antara peminat yang mempersoalkan keputusan anugerah berkenaan.

Kejayaan pasukan hoki negara mengharumkan nama negara di mata dunia ini pastinya begitu signifikan dan sepatutnya melayakkan mereka menjadi ikon buat peminat sukan.

Namun, tidak dinafikan JDT juga menamatkan musim 2022 dengan penuh gemilang dengan pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

Mereka berjaya mencatatkan empat kejuaraan domestik tanpa kalah (Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super), selain melangkah ke pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL) buat kali pertama dalam sejarah.

Tidak dilupakan, pasukan bawah umur JDT juga berjaya menjulang sejumlah kejuaraan domestik dan juga antarabangsa.

Namun tidak mengejutkan kerana selain penilaian daripada juri profesional, pemenang anugerah itu dipilih berdasarkan undian peminat.

Tidak dapat dinafikan bola sepak merupakan sukan yang jauh lebih popular dan JDT juga mempunyai peminat yang ramai, justeru mungkin mereka memiliki kelebihan dari segi itu.