Masa mula-mula jadi jurulatih Malaysia, jadi juara Piala AFF adalah salah satu sasaran saya – Kim Pan-gon

1,170

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui beliau mempunyai sasaran untuk menjadi juara Piala AFF sejak mengambil alih Malaysia Februari tahun lalu.

Menurutnya, beliau pernah menonton kejohanan tersebut ketika beliau berada di Hong Kong dan Korea Selatan, justeru tahu mengenai prestij kejohanan itu.


“Apabila saya jadi jurulatih Malaysia, saya letakkan sasaran untuk menjuarai piala ini, ia adalah penting buat saya, sekiranya saya berjaya bawa piala ini buat rakyat Malaysia, ia adalah penghormatan buat diri saya.

Kami ada kelebihan jaringan tetapi sedar bahawa bermain di gelanggang lawan bukanlah mudah, saya lihat semua pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan esok, harapnya kami dapat bawa pulang keputusan yang baik ke Malaysia,”

katanya pada sidang media.

Menurutnya, Thailand adalah satu pasukan yang kuat, justeru mereka harus turun dengan berhati-hati pada perlawanan itu.

Jelas Pan-gon, beliau mempunyai beberapa pelan untuk menentang Thailand dan sudah berlatih dengan para pemain mengenai taktikal-taktikal yang mahu diterapkan.

“Kami ada beberapa pelan dalam setiap game, jika satu pelan tidak menjadi kami akan gunakan yang lain, para pemain semua faham mengenai gaya permainan dan taktikal yang ingin diterapkan.

Mereka dah lakukan tugas yang baik pada perlawanan sebelum ini, nampak seperti kami berada dalam tekanan tetapi kami sebenarnya selesa, kami tahu apa yang mereka mahu lakukan dan apa yang perlu kami lakukan.”

Sementara itu, pemain tengah, Stuart Wilkin mahu Malaysia mendapatkan gol awal untuk meletakkan Thailand dalam tekanan.

Beliau tahu perkara itu sukar kerana bermain di gelanggang lawan namun itu adalah rancangan mereka untuk esok.

“Sudah tentu keputusan perlawanan pertama sebelum ini membantu kami, lebih-lebih lagi kami berjaya pastikan gawang kami tidak dibolosi, ia sangat penting.

Perlawanan esok tidak akan menjadi mudah buat kami, mereka pasukan yang hebat tetapi kami mahu jaringkan gol awal untuk memastikan mereka terpaksa jaringkan tiga gol jika mahu menewaskan kami.”

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu, Malaysia menang 1-0 hasil jaringan Faisal Halim.

Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung esok di Stadium Thammasat, Bangkok pada pukul 8.30 malam waktu Malaysia.