Saya datang ke Selangor FC kerana ia kelab terbesar di Malaysia – Ramon Marcote

2,406

Penolong jurulatih Selangor FC yang baru, Ramon Marcote menegaskan reputasi kelab itu sebagai kelab terbaik di negara ini membuatkan dirinya tertarik untuk kembali ke Malaysia.

Menurutnya, beliau juga teruja untuk menyertai Selangor kerana rakannya ketika di Kedah Darul Aman FC dahulu, Tan Cheng Hoe kini menjadi ketua jurulatih kelab itu, selain dikelilingi oleh ramai lagi individu lain yang bagus.


“Saya datang ke Selangor sebab ia kelab terbesar di Malaysia, jika kelab terbesar di negara ini panggil anda, pastinya anda akan sahut.

Selain itu sudah tentu disebabkan saya mempunyai rakan-rakan lain di sini seperti Cheng Hoe, saya rasa ia destinasi yang baik untuk saya,”

katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, Cheng Hoe merupakan salah seorang jurulatih terbaik di Malaysia dan teruja untuk bekerja bersama beliau.

Menurutnya, sebaik sahaja Cheng Hoe menghubunginya untuk mengajaknya ke Selangor, beliau terus bersetuju.

“Saya gembira berada di sini dan saya harap dapat membantu Cheng Hoe dan kelab untuk mencapai jangkaan penyokong.

Dalam bola sepak anda tidak tahu apa yang akan berlaku, seperti saya dan Cheng Hoe tak sangka akhirnya kami berjumpa semula di Selangor.”

Untuk rekod, Marcote pernah bekerja dengan Cheng Hoe pada tahun 2015 di Kedah sebagai jurulatih kecergasan.

Beliau yang mempunyai lesen kejurulatihan UEFA Pro merupakan bekas pengendali skuad pembangunan Atletico Madrid pada tahun 2016/2017.

Selain itu, beliau juga pernah membimbing skuad remaja kelab Arab Saudi, Al Hilal bawah 15 tahun pada tahun 2021/2022 sebelum ke Ethnikos Achnas di Cyprus sebagai jurulatih.