Selangor FC bukan nak cabar pasukan lain, kami mahu cabar diri sendiri untuk ke Asia pada 2023 – Tan Cheng Hoe
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menegaskan kelab itu mempunyai sasaran untuk ke layak ke peringkat Asia pada musim baru selain turut mendakap piala dalam masa yang sama.
Beliau berkata, mereka tidak mahu mencabar mana-mana pasukan lain, tetapi fokus untuk mencabar diri sendiri dalam merealisasikan impian itu.
“Kita bukan nak cabar sesiapa tetapi kita nak cabar diri sendiri sebagai pasukan yang memberi saingan hebat kepada pasukan-pasukan lain dalam Liga Malaysia.
Memang sasaran utama adalah untuk merebut slot ke kejohanan AFC, dan sudah pasti mahu melihat peningkatan pasukan ini dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain. Piala juga pastinya adalah salah satu sasaran kita,”
katanya.
Beliau menganggap tahun 2023 akan menjadi satu tahun yang mencabar buat Selangor dengan jangkaan tinggi peminat yang ingin melihat kejayaan pasukan.
Cheng Hoe yakin dengan barisan kejurulatihan yang dimiliki, Selangor akan mampu memberi saingan yang sengit namun menganggap ia merupakan satu proses yang bukan sekejap.
Mengenai persiapan pasukan pada musim 2023, Cheng Hoe berkata, pihak pengurusan sudah merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab luar negara seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam, tetapi akan dimuktamadkan kemudian.
“Kemungkinan kita akan adakan perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan dan juga luar negara untuk persiapan, pihak pengurusan sedang susun perlawanan dengan kelab luar seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam.
Saya tahu penyokong sedang nantikan pemain-pemain import yang baru tetapi buat masa ini keputusan masih belum 100 peratus jadi kami tidak boleh umumkan lagi.”
Menurut Cheng Hoe, import dari musim lalu yang akan kekal pada 2023 adalah Yazan Al-Arab, Richmond Ankrah dan Hein Htet Aung, manakala status Herlison Caion bersama kelab itu masih lagi sedang dibincangkan.
Tambahnya, beliau kini sedang melakukan sesi latihan dengan pemain-pemain sedia ada sementara menunggu pemain lain yang mewakili pasukan kebangsaan pulang daripada tugasan Piala AFF.
Sementara itu, penjaga gol, Samuel Somerville mengakui Selangor kini semakin kuat setelah melakukan beberapa penambahan pemain berkualiti seperti trio pemain kebangsaan iaitu Ruventhiran, Faisal Halim dan Khuzaimi Piee.
Menurutnya, musim depada akan menjadi cabaran buat pasukan dan juga dirinya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Saya akui memang saingan untuk merebut tempat dalam pasukan memang sengit, kami ada pemain-pemain yang baik tetapi ia terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan.
Pastinya saya berharap akan lebih kerap diturunkan musim depan, jadi saya akan berusaha dan bekerja keras untuk itu.”
Tambahnya, persediaan pasukan berada dalam keadaan yang baik, dan beliau sudah menyesuaikan diri dengan penjaga gol yang baru.
Jelas beliau, sasaran pasukan adalah untuk bersaing dengan pasukan teratas dalam liga dan percaya pemain-pemain baru akan membantu merealisasikan hasrat itu.