Tewas kepada Vietnam, penyokong Indonesia desak STY letak jawatan, seolah-olah tak hargai jasa beliau

1,042

Meletakkan harapan yang terlalu tinggi menyebabkan penyokong skuad Garuda begitu kecewa dengan kelakalahan 2-0 kepada Vietnam pada separuh akhir kedua Piala AFF.

Peminat bola sepak Indonesia begitu berharap agar edisi yang ke-14 kali ini akan menjadi milik mereka namun ianya gagal direalisasikan.


Penggendali Indonesia, Shin Tae-yong turut memberi alasan seperti permukaan padang yang kurang cantik di Stadium Nasional My Dinh menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada kekalahan mereka kepada Vietnam.

Namun, rata-rata peminat Indonesia dilihat sudah tidak boleh bersabar lagi dengan Tae-yong susulan kekalahan tersebut meskipun anak buahnya telah mempamerkan aksi yang terbaik.

Mereka mahu Tae-yong dipecat daripada terus menggendali skuad Indonesia, kira-kira tiga tahun selepas mengendalikan pasukan tersebut.

Tanda pagar #STYOUT juga sudah mula ‘trending’ di laman sosial Twitter sejurus tamat perlawanan separuh akhir.

Tindakan mereka juga dilihat seperti tidak menghargai segala usaha yang telah dilakukan oleh Tae-yong yang telah membawa peningkatan dalam skuad Indonesia sejak dilantik pada Disember 2019.

Sebelum kekalahan ini, Tae-yong dilihat begitu disayangi oleh peminat Indonesia termasuklah Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Selain itu, beliau turut mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochammad Iriawan.

Tae-yong wajar diberi ruang dan peluang oleh peminat termasuklah PSSI agar beliau dapat membentuk skuad yang cemerlang menjelang Piala Asia 2023 di Qatar nanti.

Agak rugi jika projek yang telah diusahakan oleh beliau selama lebih kurang tiga tahun ini musnah begitu sahaja, dan penggantinya harus bermula dari bawah semula.

Piala Asia bakal menjadi medan terbaik buat mereka menilai persembahan anak-anak buah Tae-yong.

Jika pasukan Indonesia tetap menampilkan persembahan yang buruk pada kejohanan itu, barulah wajar untuk mendesak beliau berundur diri daripada pasukan.