Jika KPG perlukan pemain, Selangor FC sedia lepaskan – Tan Cheng Hoe

2,140

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak akan menghalang mana-mana pemainnya untuk mewakili pasukan negara walaupun di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya, sebagai jurulatih, beliau bangga apabila pemain-pemainnya dipanggil mewakili skuad kebangsaan dan menganggap ia sebagai satu tanda positif buat kelab.


“Jika jurulatih kebangsaan perlukan pemain Selangor, kami akan lepaskan. Sudah tentu kita akan lihat sama ada jadual yang kita lalui dalam liga padat atau tidak dan jika pemain terlalu kepenatan dan perlukan rehat, kita akan lihat dari sudut kecergasan.

Jika tiada apa-apa perlawanan untuk kelab, kami akan beri peluang buat mereka mewakili pasukan kebangsaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan melepaskan pemain Selangor di luar kalendar FIFA pada masa depan.

Cheng Hoe berkata, sebagai jurulatih kelab, beliau harus berkorban untuk melepaskan pemain-pemainnya ke kem kebangsaan dan terpaksa mengubah sesi latihan pasukan menjelang musim baru.

Tambahnya, panggilan mewakili negara adalah baik untuk para pemain terutama pemain muda seperti Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem dan Aliff Haiqal.

Menurut Cheng Hoe, beliau paling kagum dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Sharul kerana ini merupakan penampilan pertamanya dengan pasukan kebangsaan.

“Saya lihat semua pemain bermain dengan amat baik, tetapi yang mencuri perhatian saya tentulah Sharul Nazeem yang pertama kali bermain untuk Malaysia.

Saya lihat beliau mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan, saya harap mereka semua dapat membantu kami apabila kembali kelak.”

Selangor mempunyai wakil paling ramai dalam skuad Malaysia ke Piala AFF kali ini dengan 10 pemain.

Mereka adalah Sharul Nazeem, Quentin Cheng, Fazly Mazlan, Brendan Gan, Mukhairi Ajmal, Aliff Haiqal dan Nor Hakim Hassan, Faisal Halim, Ruventhiran dan Kuzaimi Piee.