Langkah kanan JDT untuk musim 2023, sedia ‘bolot’ semua piala seperti musim lalu
Bahang Liga Malaysia 2023 kian terasa. Setiap pasukan pastinya sedang sibuk mempersiapkan pasukan yang mantap dalam setiap aspek untuk menempuhi cabaran-cabaran yang akan dihadapi pada musim ini.
Johor Darul Ta’zim (JDT) pastinya tidak mahu ketinggalan dalam mempersiapkan pasukan yang mantap dan sepertinya dengan sengaja menyampaikan pesan kepada semua pasukan untuk bersiap sedia menghadapi mereka musim ini.
Pencipta record ‘triple hattrick’ Liga Super itu tidak merasa puas dengan prestasi musim lepas walaupun JDT telah mendominasi kesemua piala domestik.
Selain dominasi secara kumpulan, pemain JDT juga banyak memenangi anugerah dalam kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022.
Walau bagaimanapun, musim ini JDT hadir dengan membawa masuk wajah baharu yang akan memperkuatkan lagi pasukan.
Kehadiran Esteban Solari sebagai pengurus dan ketua jurulatih baharu JDT pastinya akan memberi nafas segar kepada taktikal dan corak permainan yang akan digunakan musim ini.
Bekas penolong jurulatih skuad Argentina bawah 20 tahun itu menyedari bahawa ‘demand’ yang tinggi dari penyokong JDT dan menyatakan hasrat untuk meneruskan dominasi JDT pada musim ini.
Selain itu, JDT juga membawa 4 orang pemain import iaitu Juan Muniz, Oscar Arribas, Diogo Luis Santo, Endrick Dos Santos.
Keempat-empat pemain ini sudah mula menjalani latihan bersama kelab dan pastinya ketajaman mereka dalam posisi taktikal yang disusun oleh Esteban Solari sangat ditagih serta mampu memberi impak dalam setiap perlawanan lebih-lebih lagi cabaran JDT di AFC Champions League (ACL) 2023.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah memuat naik bayangan line-up pemain dan posisi mereka.
Dalam instastory TMJ menunjukkan bahawa taktikal JDT masih mengekalkan 3-4-3 dimana musim lepas JDT banyak menggunakan taktikal ini semasa dibawah pengendalian Hector Bidoglio.
Memandangkan Esteban Solari sebelum ini berada di dalam kejurulatihan skuad Argentina, secara falsafah bola sepak, ianya tidak jauh berbeza dengan apa yang JDT terapkan di dalam DNA mereka.
Taktikal 3-4-3, 4-3-3, 4-3-1-2 dan seumpanya menjadi kegemaran skuad Argentina sehingga taktikal ini mereka terapkan ketika skuad La Albiceleste menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar.
Ini akan memudahkan Solari untuk menyusun taktikal dan membuat rotasi pemain sesuai dengan kemampuan dan keperluan setiap perlawanan.
Menerusi taktikal ini, dapat dilihat bahawa kemasukan Juan Muniz sangat memberi kelebihan kepada bahagian serangan JDT.
Juan Muniz, seorang pemain yang mempunyai ‘ability’ dan ‘vision’ yang tinggi dalam membuat hantaran serta mampu untuk menjaringkan gol melalui sepakan percuma.
Kelihatannya kekuatan dalam corak hantaran sedikit sama dengan Leandro Velasquez tetapi Muniz mempunyai kelebihan dari segi kelajuan dan ‘body contact’.
Permainan seperti ini pastinya menjadi kegemaran untuk pemain seperti Bergson untuk mendapatkan bola dan menjaringkan gol.
Oscar Arribas, pemain sayap berdarah Sepanyol Filipina akan menjadi pilihan sekiranya pemain JDT yang mempunyai kepantasan seperti Arif Aiman dan Foriesteri mengalami kecederaan.
Ini kerana corak permainan Oscar yang cenderung menggunakan kepantasan akan menjadi kelebihan sekiranya JDT ingin mencari gol di minit-minit akhir perlawanan.
Dengan kemasukan semula Diogo Luis Santo dan Endrick Dos Santos ke dalam pasukan JDT, pastinya akan memberikan lagi ‘option’ untuk Solari memilih pemain import dalam setiap perlawanan yang dihadapi.
Ini kerana Diogo yang mempunyai ketenangan diatas padang dan mempunyai keupayaan untuk menggelecek dan menjaringkan gol akan memberi impak kepada corak taktikal permainan JDT mahukan penguasaan bola secara penuh.
Kekuatan Endrick semasa beliau bermain di Pulau Pinang sebelum ini membuktikan bahawa ‘leadership’ dan kemampuan untuk menjaringkan gol akan beliau berikan apabila beliau dipilih untuk kesebelasan utama.
Pastinya, kemasukan pemain import baru ini adalah kemahuan TMJ yang ingin memberikan ‘pressure’ kepada setiap pemain JDT untuk memberikan yang terbaik di dalam latihan dan perlawanan.
Pilihan pemain yang besar dengan kekuatan masing-masing di setiap posisi akan memberikan kelebihan kepada Solari untuk memilih pemain berdasarkan lawan yang akan mereka hadapi.
Kesebelasan utama pilihan penulis
Dengan melihat keupayaan pemain dan ‘squad depth’ yang ada di JDT, penulis memilih untuk menggunakan taktikal 3-4-3 secara keseluruhan dan bermain secara ‘open play’.
Bagi posisi penjaga gol, penulis memilih untuk menjadikan Farizal Marlias sebagai pilihan utama. Walaupun ‘rumours’ mengatakan yang Syihan Hazmi akan ke selatan, tetapi penulis tetap memilih Farizal sebagai penjaga gol pertama.
Ini kerana faktor pengalaman beliau tidak perlu dipersoal lagi. Farizal yang mempunyai keupayaan membaca bola, menang bola satu lawan satu dan menang bola di udara akan menjadi kesukaran untuk setiap penyerang lawan menjaringkan gol.
Aura ‘leadership’ dan dan ketenangan dalam kawalan bola, membuatkan Farizal dilihat seperti Manuel Neuer dan ini yang membuatkan penulis tetap memilih Farizal sebagai penjaga gol utama dan kapten pasukan JDT.
Di bahagian pertahanan, penulis memilih untuk mengekalkan gandingan Shane Lowry, Shahrul Saad dan Matt Davies.
Ini kerana ketiga-tiga pemain ini mempunyai persamaan dalam keupayaan dari segi larian, membaca pihak lawan dan menang bola di udara. Ketiga-tiga pemain ini juga mempunyai disiplin yang tinggi untuk bermain di dalam posisi dan mempunyai ketangkasan untuk berjaya memenangi bola apabila situasi satu lawan satu.
Matt Davies yang mempunyai gaya hantaran lambung yang baik akan memberi kelebihan untuk pemain hadapan seperti Bergson menjaringkan gol. Kepakaran hantaran jauh dari Shane Lowry terkadang memberi ruang untuk pemain sayap seperti Arif Aiman, Corbin Ong dan Foriesteri membuka lagi ruang sehingga ke tepi padang supaya ruang di bahagian tengah akan terbuka dan memberi peluang untuk pemain tengah menerima bola dan membuat serangan.
Shahrul Saad, seorang pemain pertahanan yang mempunyai pakej lengkap dari pelbagai sudut pastinya memudahkan penulis untuk memilih beliau sebagai pilihan utama berbanding Jordi Amat dan Aidil Zafuan.
Di bahagian tengah, penulis memilih untuk menggandingkan pemain yang mempunyai keupayaan bermain di bahagian ‘defensive’, ‘centre’ dan ‘attacking’. Disini penulis memilih untuk meletakkan Natxo Insa dan pemain baharu, Juan Muniz sebagai ‘pair’ utama.
Ini kerana penulis memerlukan seorang ‘fighter’ seperti Natxo Insa yang mempunyai kekuatan untuk bertahan dan mengawal bahagian tengah dengan baik. Juan Muniz, seorang pemain tengah yang mempunyai ‘vision’ dan kreatif dalam membuat hantaran, pantas serta bijak mencari peluang untuk melepaskan rembatan menjadi pilihan tepat untuk penulis pilih dalam kesebelasan utama.
Syahmi Safari di sebelah kanan dan Corbin Ong di sebelah kiri menjadi kekuatan dari segi kelajuan, membaca gerak lawan, hantaran lambung dan kelicikan untuk menang di kotak penalti.
Di bahagian hadapan, penulis memilih trio terbaik JDT iaitu Foriesteri, Bergson dan Arif Aiman untuk menjadi jentera di bahagian serangan. Ketiga-tiga pemain itu tidak diragukan lagi kemampuan mereka untuk menjaringkan gol dan kombinasi mereka secara ‘game play’ pasti membuatkan Esteban Solari tetap akan memilih mereka untuk menjadi penggempur utama.
Kesimpulannya, JDT tetap JDT. Mereka akan sentiasa dahagakan kemenangan dan mendominasi lagi semua cabaran di peringkat domestik dan antarabangsa.
Namun begitu, JDT tetap perlu berwaspada dengan kemampuan pasukan-pasukan lain dan perlu diingat bahawa setiap pasukan yang berhadapan dengan JDT, pastinya akan memberi saingan yang luar biasa dan segala kemungkinan boleh terjadi di dalam bola sepak.