Maafkan saya Malaysia tak dapat banggakan anda, saya yang salah bukan pemain – KPG

2,605

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon meletakkan seluruh kesalahan kepada dirinya atas kekalahan Malaysia kepada Thailand pada separuh akhir Piala AFF 2022.

Menurutnya, seluruh pemain sudah melakukan yang terbaik dan tiada cacat-cela daripada pihak mereka, sambil menambah bahawa punca kekalahan adalah daripada kelemahan dirinya.


“Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tak dapat banggakan anda, saya minta maaf. Tiada apa yang saya mahu katakan mengenai prestasi pemain kerana mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh dan mengikut arahan saya.

Masalah adalah daripada pihak saya, dari segi taktikal, barisan pemain dan sebagainya, saya ambil tanggungjawab ini dan saya akan berdiri di hadapan mereka untuk terima kecaman dari orang ramai,”

katanya.

Menurut Pan-gon, beliau menghargai segala pengorbanan yang dilakukan oleh semua pemain yang mengorbankan cuti mereka untuk hadir membantu negara.

Beliau menyifatkan perjalan kira-kira lima minggu bersama pemain sejak dari sesi latihan pertama adalah satu perjalanan yang indah dan tiada penyesalan mengenai mereka.

“Saya amat hargai usaha mereka, mereka korbankan cuti datang sesi latihan bersama kami. Banyak cabaran dan pengrobanan, kami bercakap mengenai impian dan masa depan, ia satu perjalanan yang indah.

Hari ini kami sedih tak dapat ke final dan kami pulang ke Malaysia dengan pengajaran yang berguna.”

Menurut Pan-gon, beliau akan membuat penilaian terlebih dahulu barisan pemain kali ini sama ada akan terus mengekalkan mereka selepas ini ataupun tidak.

Beliau mengakui mungkin terdapat pemain yang masih diperlukan dan ada pemain yang tidak akan dipanggil selepas ini.

Sementara itu, Pan-gon turut berterima kasih kepada seluruh penyokong Malaysia yang hadir ke Stadium Thammasat untuk memberi sokongan kepada para pemain Harimau Malaya.

Malaysia tewas 3-0 kepada Thailand pada perlawanan tersebut, menyaksikan mereka tewas 3-1 secara agregat, sekaligus tersingkir daripada Piala AFF 2022.