Mampukah Adisak Kraisorn akan menyinar di TFC seperti aksinya bersama skuad Gajah Perang?
Disebalik keterujaan peminat Terengganu FC (TFC) dengan kehadiran pemain bintang Thailand, Adisak Kraisorn yang akan menyarung jersi pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2023, namun ada juga segelintir peminat yang menyuarakan kebimbangan mereka.
Bekas pemain Muanthong United yang beraksi di Thai League 1 itu telah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama TFC.
Kebimbangan yang disuarakan oleh peminat Sang Penyu adalah mampukah Adisak mampu memberi impak kepada pasukan dalam mengharungi saingan liga pada musim hadapan atau sebaliknya.
Ini kerana pemain berusia 31 tahun itu bukanlah tonggak utama Muanthong United apabila hanya diturunkan dalam kesebelasan utama sebanyak enam kali dan dimasukkan sebagai pemain gantian sebanyak enam kali selepas 15 perlawanan.
Dalam 12 perlawanan tersebut, `beliau yang beraksi sebanyak 526 minit hanya berjaya menjaringkan empat gol dan dua bantuan gol sepanjang musim 2022/2023.
Dalam kejuaraan Thai FA Cup pula, beliau diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Hippo FC sebagai kapten, namun tidak beraksi sepenuh masa. Pada perlawanan kedua menentang Kohkwang United pula beliau hanya dimasukkan pada separuh masa kedua.
Muanthong United kini berada pada kedudukan ke-10 liga selepas 15 perlawanan dengan mencatatkan tiga kemenangan, tujuh seri dan lima kekalahan.
Dalam pada itu, dalam pasukan kebangsaan Thailand pula, Adisak yang mula menyarung jersi Gajah Perang sejak 2013 telah membuat sebanyak 53 penampilan dengan 20 jaringan gol.
Beliau juga baru sahaja membantu Thailand untuk mara ke perlawanan akhir Piala AFF 2022 buat kali ke-10 selepas menewaskan Malaysia 3-0 (agregat 3-1) dalam perlawanan separuh akhir kedua semalam.
Adisak dimasukkan pada separuh masa kedua dan terus memberi impak yang besar di bahagian serangan dan berjaya menjaringkan gol pada minit ke-71, sekaligus menjadi gol kemenangan buat Thailand untuk mara ke perlawanan akhir Piala AFF.
Sepanjang kempen Piala AFF kali ini, beliau telah beraksi sebanyak enam kali dengan diturunkan sebanyak tiga kali dalam kesebelasan utama, serta menjaringkan dua gol.
Thailand akan bertemu Vietnam pada perlawanan akhir Piala AFF yang mana perlawanan akhir pusingan pertama akan berlangsung pada 13 Januari di My Dinh, Hanoi dan perlawanan akhir pusingan kedua pula pada 16 Januari di Thammasat, Thailand.
Persoalannya kini, mampukah Adisak memberi impak besar buat TFC pada musim 2023 kerana beliau bukan sahaja akan mengharungi saingan Liga Malaysia tetapi juga saingan Piala AFC? Atau nasibnya akan berakhir sama seperti David Da Silva dan Makan Konate sebelum ini? Sama-sama kita tunggu dan lihat impak yang akan dibawa oleh Adisak untuk TFC pada musim 2023 ini.