Terima lawatan PDRM FC, serta tidak lokek ilmu sikap TMJ wajar dijadikan tauladan

117

Meskipun PDRM FC merupakan pesaing Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk saingan Liga Super bagi musim 2023, JDT tetap menerima lawatan daripada pengurusan pasukan itu.

Pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris berkenaan mengadap delegasi yang diketuai oleh ASP Mohamad Hafiz Bin Zainal Abidin selaku Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC di Ibu Pejabat JDT.


Ini bukan pertama kali TMJ berbuat demikian kerana sebelum ini baginda juga pernah menerima lawatan dari beberapa pasukan serta Kementerian Belia & Sukan (KBS) bagi melihat fasiliti latihan kelab serta Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Biarpun pasukan lawan datang melawat, baginda tetap menyambut kedatangan itu dengan harapan kelab-kelab tersebut boleh belajar sesuatu daripada JDT.

Sikap baginda yang tidak lokek ilmu itu membuatkan banyak kelab ingin belajar daripada baginda tentang bagaimana JDT dapat diuruskan dengan baik.

Baginda sering berkongsi pendapatnya mengenai dunia bola sepak tempatan demi memajukan sukan bola sepak tempatan supaya lebih banyak pasukan dapat bersaing dengan sihat dan tidak ketinggalan dengan jauh.

Terdahulu, baginda juga turut berkenan melawat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM bagi memberi semangat kepada pemain-pemain menjelang perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022.

Biarpun tiada pemain JDT dalam skuad negara dalam kempen Piala AFF, baginda tetap menyokong penuh skuad negara.

Dalam pada itu, biarpun TMJ sering terpalit dengan kenyataan-kenyataan kontroversi, namun cinta baginda terhadap dunia bola sepak tanah air tidak pernah pudar, malah sedia membantu mana-mana kelab mahu pun pasukan kebangsaan sekiranya mereka perlukan bantuan.

Suka atau tidak, dibawah pentadbiran baginda, JDT telah menjadi salah sebuah kelab bola sepak terbaik di rantau Asia, jadi tidak salah buat mana-mana pasukan untuk belajar daripada kelab terbaik untuk meningkatkan kelab masing-masing.

Sikap yang ditunjukkan oleh TMJ patut dijadikan contoh agar bola sepak negara terus maju.