Berkuasa penuh tentukan jurulatih dan pemain, cara Zamsaham kendali Kelantan FC persis TMJ di JDT

2,415

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyatakan pendiriannya berkaitan kuasa pemilihan pemain adalah terletak ditangan beliau sebagai pemilik dan bukannya jurulatih secara keseluruhan.

Menurut Norizam atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham, beliau menjelaskan bahawa tugas utama seorang jurulatih adalah menggunakan kepakarannya dalam merencana taktikal dan strategi dengan pemain sedia ada.


“Head Coach, sporting director dan agent bebas untuk memperkenalkan, mencadangkan dan menasihati saya..Tetapi saya adalah final says,”

katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dibuat di laman sosial Facebook miliknya bagi menjawab persoalan daripada segelintir pihak yang mempersoal tindakannya menandatangani pemain-pemain baru yang bukan dipilih sendiri oleh ketua jurulatih.

Keputusan itu dibuat adalah bagi mengelak dari berlakunya beberapa masalah termasuk masalah ketua jurulatih membuat perjanjian pintu belakang dengan pemain yang dibawa masuk dan budaya favouritism dalam kesebelasan utama.

Oleh itu, beliau berharap agar peminat The Red Warriors akan terbuka dan memahami setiap tindakan dan keputusan yang diambil olehnya kerana apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan kelab itu sendiri.

Dalam pada itu, cara pengurusan kelab Zamsaham ini boleh dikatakan hampir serupa seperti yang dilakukan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris.

Semua sedia maklum dengan cara pengurusan JDT yang mana ia dikawal sepenuhnya oleh TMJ termasuk pemilihan ketua jurulatih, pemain, infrastruktur, kewangan dan lain-lain.

Di bawah pimpinan TMJ, JDT telah mengecapi pelbagai kejuaraan sepanjang tempoh sedekad ini sehingga kelab tersebut kini menjadi salah sebuah kelab terbaik di rantau Asia.

Mungkin dengan kejayaan TMJ memimpin JDT memperoleh kejayaan menjadi inspirasi kepada Zamsaham untuk melakukan perkara sama.

Terdahulu, pasukan Kelantan berdepan kemelut yang hampir membuatkan kelab tersebut terkubur apabila mengalami masalah kewangan.

Zamsaham kemudian menjadi penyelamat apabila tampil mengambil alih kelab tersebut pada September 2020 dengan nilai RM6.8 juta sekaligus menjadi menjadi pemilik penuh Kelantan.

Sejak berada di bawah pengurusan Zamsaham, Kelantan Kembali bangkit dan musim lalu telah mencipta kejayaan dengan menjadi naib juara Liga Perdana dan layak untuk kembali di Liga Super 2023.