Vissel Kobe tawar jersi harga ‘kayangan’, peminat tetap sokong kelab kesayangan
Baru-baru ini, kelab gergasi Jepun, Vissel Kobe mengejutkan peminat bola sepak dunia dengan harga jersi ‘kayangan’ yang mereka tetapkan.
Jersi keluaran Asics itu dijual pada harga ¥35,000 bersamaan RM1,194 untuk jersi dengan edisi pemain dan jersi replika pula berharga ¥20,000 bersamaan RM682.
Tidak dinafikan jersi tersebut pastinya dijamin berkualiti tinggi, tetapi tanda harga kayangan yang diletakkan agak luar biasa dan hampir dua kali ganda lebih mahal dari jersi dari jenama terkemuka dunia lain seperti Nike, Adidas dan Puma.
Seperti yang diketahui, penjualan jersi adalah salah satu usaha untuk sesebuah kelab bola sepak meraih pendapatan.
Pastinya hasil dari keuntungan tersebut akan digunakan untuk kelangsungan kelab serta dapat digunakan juga untuk memenuhi setiap keperluan kelab di dalam dan di luar padang.
Di sini dapat dilihat bahawa budaya bola sepak Jepun sangat menggalakkan peminat untuk mereka membeli produk yang original.
Hal ini menunjukkan betapa tinggi mentaliti masyarakat Jepun dalam usaha membantu kelab bola kesayangan mereka dengan membeli produk original selain menghargai produk keluaran tempatan.
Tidak dapat dinafikan, masyarakat Jepun sangat mengutamakan produk keluaran tempatan berbanding produk dari negara luar dan sanggup membayar lebih demi membantu jenama tempatan berkembang.
Budaya ini menjadi bukti bahawa penyokong bola sepak di Jepun mempunyai jiwa untuk menjadi tunjang kekuatan kelab kesayangan mereka untuk terus berkembang.
Sementara itu, lain pula senario yang berlaku dalam dunia bola sepak Malaysia apabila masih ramai peminat yang lebih rela membeli jersi tiruan atau copy ori dek harganya yang lebih murah.
Walaupun harga jersi original kini tidak semahal seperti dahulu, namun akibat kekangan kewangan ramai yang lebih memilih untuk beli jersi tiruan.
Harga sehelai jersi original, peminat boleh membeli sekitar tiga helai jersi tiruan dan isu ini dilihat tidak akan berkesudahan.
Di Liga Malaysia, jersi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah yang paling mahal berikutan mereka menggunakan jersi dari jenama terkemuka Nike.
Sehelai jersi isu pemain berharga lebih RM500, manakala jersi replika pula berharga RM299. Jadi mustahil majoriti peminat akan membeli jersi original berikutan harga yang mahal.
Jika dilihat diluar stadium masih banyak peniaga yang menjual jersi tiruan secara bebas. Pihak berkuasa juga seperti tidak tegas dalam membanteras penjualan jersi tiruan ini yang dijual secara terang-terangan.
Perkara sudah seperti menjadi budaya kita dimana masyarakat tidak takut untuk menjual jersi tiruan dan pembeli juga tidak mengambil endah akan keperluan untuk membeli yang original.
Walaubagaimanapun, sepatutnya kita sebagai penyokong haruslah membeli produk original kerana setiap jualan produk ini akan masuk ke dalam dana kelab dan ia akan digunakan untuk membangun kelab agar lebih maju.
Keprihatinan kita ini adalah antara langkah untuk kita membangunkan bola sepak dengan lebih maju.