Sanusi patut ajar Lee Zii Jia jadi lebih kental

820

Nama Lee Zii Jia kembali jadi sebutan ramai pihak susulan kekalahan di pusingan pertama Badminton Terbuka Malaysia 2023 di tangan pemain Jepun, Kodai Naraoka.

Keputusan ingin bergerak tanpa jurulatih sekali lagi dipersoal oleh banyak pihak termasuk mengatakan yang Zii Jia tidak mempunyai kekuatan mental.


Segelintir pihak juga menyifatkan pemain berusia 25 tahun sebagai seorang yang tidak cukup kental sehingga tidak berjaya untuk menghasilkan keputusan yang bagus sejak kebelakangan ini.

Tanpa kehadiran jurulatih di belakang, Zii Jia kelihatan seperti hilang arah ketika beraksi di atas gelanggang.

Dalam pada itu, ada pihak meminta pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris menasihati Zii Jia terutama dari segi mental agar dapat kembali pada prestasi terbaik.

Mereka turut berpendapat TMJ mempunyai aura untuk membantu juara All England 2021 itu mengubah pemikiran serta pendiriannya kerana beliau merupakan prospek utama pingat emas sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Tidak dapat dinafikan TMJ sememangnya sangat mengambil berat mengenai atlet dari pelbagai sukan di negeri Johor sehingga negeri itu mengecapi pelbagai kejayaan pada tahun 2022.

Namun rasanya dalam isu Zii Jia ini, tiada keperluan untuk melibatkan TMJ, sebaliknya biar baginda fokus pada pengurusan dan pembangunan bola sepak JDT dan juga Malaysia untuk lebih maju lagi.

Bagaimanapun, jika mahu individu yang mempunyai aura dalam memberi nasihat dan tunjuk ajar, mungkin individu paling sesuai adalah Menteri Besar Kedah iaitu Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana Zii Jia merupakan anak jati Kedah.

Sanusi dan Zii Jia bukanlah asing kerana kedua-dua mereka ini pernah berkongsi gelanggang badminton sebelum ini.

Jadi beliau pastinya mampu memberi nasihat kepada jaguh badminton negara itu untuk menjadi seorang yang berjiwa kental sama seperti Sanusi dalam mentadbir negeri Kedah.

Terdahulu, Zii Jia telah membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada awal Januari 2022 dan pada November lalu beliau sekali lagi mengejutkan ramai apabila nekad untuk bergerak tanpa jurulatih.

Sepanjang tahun lalu, Zii Jia telah berjaya merangkul beberapa kejuaraan antaranya ialah juara Kejohanan Badminton Asia, juara Terbuka Thailand dan membantu pasukan badminton lelaki untuk muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022.