Saya pernah ‘fed up’ dengan bola sepak sampai jual pingat, masalah zaman dulu masih berlaku sekarang – Jamsari Sabian
Bekas penjaga gol kebangsaan, Jamsari Sabian mendedahkan beliau pernah mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia bola sepak terus setelah bersara sebagai pemain gara-gara sikap pihak pengurusan yang tidak bertanggungjawab dalam menunaikan janji.
Beliau yang kini merupakan penjaga gol Kelantan United FC berkata, pada mulanya beliau sudah menyampah dengan dunia bola sepak dan cuba menceburi bidang selain bola sepak.
Kira-kira 10 tahun selepas bersara, barulah beliau kembali sebagai seorang jurulatih selepas ‘disedarkan’ oleh rakannya, Khairul Azman Mohamed.
“Saya memang dah menyampah dengan bola sepak ketika itu, apa yang berlaku pada zaman dulu masih berlaku lagi sekarang.
Pihak pengurusan jika janjikan sesuatu kepada pemain haruslah tunaikan, jika tiada tak perlu berjanji. Kami main bola bukan sebab ganjaran, tetapi bila sudah berjanji kenalah tunaikan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurutnya, rasa menyampahnya terhadap bola sepak menyebabkannya sanggup menjual pingat-pingat yang pernah dimenanginya ketika aktif bermain dahulu.
Antara pingat yang dijual adalah kejayaan treble ketika bersama Kedah pada tahun 2007, yang dijual untuk sumbangan kepada tabung kemanusiaan Palestin.
“Pingat saya pun saya dah banyak lepaskan cuma yang saya menang dengan MPPJ masih ada dalam simpanan.
Kenangan pahit itu semua adalah asam garam dalam bola sepak tetapi telan sajalah, ada kalanya kita bawa pasukan jadi juara pun boleh dilupakan.”
Kini Jamsari tekad mahu mencurahkan ilmu yang dimilikinya kepada generasi baharu dalam melahirkan penjaga gol yang lebih hebat dari dirinya.
Beliau bersyukur dapat diberi peluang untuk bersama Kelantan United dan berharap dapat membantu kelab itu mengharungi musim pertama Liga Super dengan segala kemahiran yang dimilikinya.