Walaupun berstatus ‘underdog’, KUFC tak mahu jadi pasukan belasahan, kami ada sasaran berada di top 5 – Rozi Muhamad

280

Presiden Kelantan United FC (KUFC), Rozi Muhamad tidak mahu pasukan itu sekadar menjadi ‘pelengkap jadual’ dan pasukan belasahan dalam saingan Liga Super musim depan.

Beliau berkata, walaupun KUFC pasukan underdog dan masih baru, mereka tetap mempunyai cita-cita yang tinggi dan sasaran tersendiri untuk bersaing dengan kelab gergasi lain.


“Sasaran itu memang ada misi dan visi kita memang tinggi cuma kita sedar yang KUFC ini satu pasukan underdog jadi kita tidaklah letak sasaran yang terlalu tinggi, kita perlu realistik. Musim depan berada di kelompok 10 terbaik pun sudah cukup baik.

Kita juga ada sasaran untuk berada di kedudukan lima teratas satu hari nanti, walaupun ini mungkin dilihat sebagai satu angan-angan sahaja tetapi tidak mustahil, semuanya bergantung kepada usaha yang kita lakukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, setakat ini kelab itu telah melakukan beberapa persiapan terutamanya meningkatkan tahap kecergasan para pemain dan juga menyusun beberapa perlawanan pershabatan dengan kelab tempatan dan kelab luar negara.

Setakat ini, pihak kelab sudah berbincang dengan pasukan dari Indonesia dan Thailand dan dalam proses memuktamadkan perkara itu.

Sementara itu, beliau percaya gabungan pemain berpengalaman seperti Indra Putra dan Syazwan Zainon dan juga pemain-pemain muda mampu membawa sesuatu yang positif buat pasukan itu.

“Insya-Allah gabungan pemain lama dan baru ini akan membuahkan satu hasil yang baik, setakat ini mungkin kita tidak nampak secara jelas tetapi perlawanan persahabatan saya harap dapat menunjukkan perkembangan itu.

Saya tekankan kepada pemain dan pihak pengurusan supaya mereka pastikan KUFC bukan satu pasukan yang boleh diperbudak-budakkan, kita nak jadi sebaris dengan pasukan lain dan mampu beri tentangan yang hebat.”

Dalam memperkuatkan pasukan, beliau berkata pihak pengurusan kelab mengutamakan kebajikan pemain dan memastikan kelab tidak berbelanja lebih daripada bajet.

Menurutnya, selain daripada tajaan, kelab juga turut mengusahakan perniagaan sendiri untuk tambahan dana buat pasukan.

“Sebagai presiden, saya tekankan kepada pihak pengurusan supaya menjaga isu kebajikan para pemain, walaupun kita merangkak tetapi kita merangkak dengan baik.

Masalah tu memang ada lebih-lebih lagi kita kelab yang baru, dah tentu puca kewangan agak terhad tetapi saya tekankan kepada pihak pengurusan supaya kewangan mesti diatur dengan baik, dan berbelanja ikut kemampuan sebenar.”

Mengenai usaha untuk menarik peminat, beliau berkata pihak pengurusan melakukan inisiatif melalui promosi di media sosial dan para pemain dan jurulatih pula harus menarik peminat melalui persembahan di atas padang.

Beliau berkata sebagai kelab yang baru, mereka harus bekerja keras untuk menarik peminat menyokong mereka.