Sudah tiba masa AFF lahirkan lebih ramai pengadil berkualiti ASEAN – Subkhiddin

377

Bekas pengadil terkemuka tanah air, Subkhiddin Mohd Salleh memberitahu sudah tiba masa buat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk membangunkan lebih ramai pengadil berkualiti dari rantau ini terutamanya apabila melibatkan kejohanan Piala AFF.

Menurut Subkhiddin, ketika ini pihak AFF lebih cenderung untuk mengambil pengadil dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengadili perlawanan-perlawanan dalam kempen Piala AFF, manakala pengadil dari ASEAN pula hanya diberikan tugas sebagai pegawai keempat.


“Sudah tiba masa untuk AFF memikirkan tentang masa hadapan iaitu membangunkan pengadil dari kalangan ASEAN untuk mengadili perlawanan kita (Piala AFF).

Jadi saya hairan apabila di ASEAN ini kita tak nak terima pengadil dari negara ASEAN namun lebih cenderung bawa pengadil dari luar, tetapi tetap timbul pelbagai isu. Manakala pengadil dari ASEAN pula sering ditugaskan sebagai pegawai keempat saja. Jadi lebih baik bawa pengadil kita sendiri (ASEAN).

Saya rasa tak berbaloi dengan AFF mengeluarkan belanja yang besar untuk menganjurkan kejohanan tetapi menggunakan pengadil dari luar dan bukannya dari kalangan negara ASEAN,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Subkhiddin turut mengulas sedikit mengenai mutu pengadilan membabitkan pengadil dari Korea Selatan, Kim Dae-yong membatalkan jaringan kedua skuad Harimau Malaya pada minit ke-58 berikutan dakwaan kononnya pemain negara melakukan kekasaran terhadap pemain pertahanan Thailand sehingga cedera.

Bekas Instruktur Teknikal Pengadil Piala Dunia ini berkata, berdasarkan pemerhatiannya, beliau merasakan pengadil tersebut keliru apabila membuat keputusan tersebut.

“Bagi saya pengadil ini mungkin berfikiran ‘Malaysia dah di hadapan 1-0, jadi okaylah batalkan gol ini’. Ini apa yang saya lihat lah. Itu sebab saya kata pengadil ini kelihatan seperti keliru dengan keputusannya sendiri. Beliau tidak tegas dan yakin dengan keputusannya sendiri.”

Beliau pada masa sama turut mempersoalkan tindakan pengadil tersebut yang berlari ke arah pembantu pengadil kedua dan pegawai keempat untuk mendapatkan pengesahan sedangkan setiap pengadil yang bertugas boleh berkomunikasi menerusi alat radio komunikasi yang dipakai oleh mereka.

Oleh itu, beliau berharap selepas ini segala kelemahan yang berlaku akan diperbaiki untuk kejohanan akan datang nanti.

Dalam pada itu, Subkhiddin turut menyambut baik usaha yang akan dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan memperkenalkan teknologi VAR (video assistant referee) pada perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia.

“Bagi saya itu adalah satu permulaan yang baik dari tiada langsung tapi kita tidak boleh kata bila kita mula ia akan sempurna. Ia akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa. Bagaimanapun kita harus puji tindakan awal untuk menggunakan VAR ini.”

Terdahulu Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram yang menerajui Jawatankuasa Teknikal FAM memberitahu bahawa penggunakan VAR berkemungkinan besar akan digunakan pada perlawanan peringkat separuh akhir dan akhir terlebih dahulu.

Antara faktor yang perlu dititiberatkan dalam pelaksanaan VAR adalah kosnya yang mencecah jutaan ringgit selain perlu memastikan kualiti capaian Internet, venue dan juga kemampuan peralatan membabitkan aspek penyiaran.

Sementara itu, baru-baru ini Subkhiddin sekali ini telah mencipta sejarah buat Malaysia apabila sekali lagi terlibat dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia iaitu Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar pada November lalu.

Beliau telah diberi tanggungjawab untuk merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding, serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan berlangsung.

Ini merupakan kali keempat beliau bertugas di pentas Piala Dunia selepas ditugaskan buat kali pertama sebagai pegawai keempat di Piala Dunia Afrika Selatan 2010, sebelum ditugaskan sebagai Instruktur Teknikal Pengadil pada Piala Dunia Brazil 2014 dan Piala Dunia Rusia 2018.