Nazmi Nasaruddin, Amirul Izwan punya potensi besar untuk jadi pengadil bertaraf antarabangsa – Subkhiddin

494

Bekas pengadil terkemuka negara, Subkhiddin Mohd Salleh memberitahu Malaysia mempunyai ramai pengadil yang mempunyai potensi yang cukup besar untuk menjadi pengadil bertaraf antarabangsa.

Menurut Subkhiddin, dengan Liga Malaysia akan menggunakan teknologi VAR (video assistant referee) mampu mempertingkatkan lagi kualiti pengadil tempatan sekaligus membuka peluang kepada mereka ke peringkat antarabangsa.


“Nazmi Nasaruddin dan Amirul Izwan merupakan antara pengadil terbaik di Malaysia ketika ini.

Saya percaya dengan bantuan MFL (Malaysian Football League) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggunakan VAR nanti akan membuka ruang dan peluang kepada pengadil Malaysia untuk mengenalikan perlawanan-perlawanan di peringkat antarabangsa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut memuji sikap pengadil tempatan yang sentiasa dahagakan ilmu baru bagi meningkatkan mutu pengadilan mereka terutamanya mengenai teknologi VAR yang akan digunakan dalam kejohanan Liga Malaysia musim ini.

Dua kejohanan telah akan menggunakan VAR iaitu Piala FA dan Piala Malaysia yang mana teknologi itu berkemungkinan besar akan mula digunakan pada perlawanan separuh akhir dan akhir.

Dalam pada itu, Subkhiddin turut meluahkan rasa bangganya terhadap anak didiknya iaitu Muhammad Taqi Jahari yang menjadi pengadil pertama Singapura untuk mengadili kedua-dua kejohanan Piala Dunia Lelaki dan Wanita.

“Alhamdulillah Taqi telah memperlihatkan prestasi yang cukup bagus. Beliau dapat lesen VAR ini ketika kita sedang buat persiapan untuk ke Piala Asia di Abu Dhabi. Lesen itu dikeluarkan oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).

Kredit kepada Taqi kerana beliau seorang yang sentiasa mahu belajar dan sering berkomunikasi dengan saya untuk menambah baik mutu pengadilannya.”

Tambahnya lagi, pada musim depan Singapore Premier League akan menggunakan VAR dalam saingan liga mereka, jadi Taqi akan memberi tunjuk ajar kepada pengadil-pengadil Singapura.