Pertembungan dua kapten Harimau Malaya, Safawi Rasid dan Dion Cools, peminat tempatan dah boleh mula layan Thai League 1

1,088

Kualiti liga di Thailand iaitu Thai League 1 serta Thai League 2 sememangnya tidak boleh dinafikan lagi kerana liga tersebut merupakan antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara (ASEAN).

Tahap kompetitif liga tersebut turut menjadi tarikan pemain dari pelbagai negara rantau ASEAN termasuklah Malaysia.


Seramai enam pemain Malaysia telah beraksi di sana dan pemain tersebut ialah Safawi Rasid, Liridon Krasniqi, Junior Eldstal, Dion Cools, Stuart Wark dan Zafuan Azeman.

Hanya empat sahaja pemain negara yang beraksi di Thai League 1 iaitu pemain yang baru menyertai Ratchaburi FC iaitu Safawi; Liridon mewakili Khon Kaen United FC; Junior mewakili PT Prachuap FC dan Cools yang juga merupakan pemain baru Buriram United.

Manakala, Wark (Kasetsart F.C.) dan Azeman (Uthai Thani FC) pula beraksi di Thai League 2.

Peminat bola sepak negara kini sudah boleh mula menonton perlawanan liga-liga Thailand kerana pemain Malaysia akan beraksi di sana.

Di samping itu, mereka juga boleh memberi sokongan kepada para pemain serta dapat melihat perkembangan mereka di sana.

Dalam pada itu, peminat bola sepak negara juga boleh menyaksikan pertembungan antara dua kapten Harimau Malaya yang akan menentang sesama sendiri pada perlawanan liga itu nanti.

Safawi dijadualkan bertembung dengan Cools pada 7 Mei 2023 apabila Ratchaburi akan menentang Buriram United.

Selain itu, terdapat beberapa perlawanan yang turut melibatkan pemain Malaysia menentang sesama sendiri untuk Thai League 1 iaitu Safawi dan Liridon pada 21 Januari (Ratchaburi lwn Khon Kaen), Junior dan Cools pada 26 Februari (Parachuap lwn Buriram), Cools dan Liridon pada 18 Mac (Buriram lwn Khon Kaen), Liridon dan Junior pada 1 April (Khon Kaen lwn Parachuap) dan akhir sekali, Safawi dan Junior pada 22 April (Ratchaburi lwn Parachuap)

Manakala, untuk Thai League 2 Wark yang mewakili Kasetsart akan bertembung Azeman yang mewakili Uthai Thani pada 12 Mac.

Diharap penyokong akan terus memberi sokongan kepada semua pemain-pemain yang beraksi di liga Thailand dan pemain juga akan memberi yang terbaik agar dapat memperbaiki mutu permainan mereka.