Selangor FC atur perlawanan pra-musim dengan gergasi Thai League 1

634

Ketua Pegawai Operasi (COO) Selangor FC, Aladdin Mostafa memberitahu mereka akan terbang ke Thailand pada awal bulan Februari ini bagi menghadapi perlawanan pra-musim bersama beberapa kelab Thai League 1.

Aladdin bagaimanapun tidak dapat mendedahkan kelab mana yang akan mereka bertemu tetapi berkata mereka akan bertemu sekurang-kurangnya dua atau tiga pasukan.


“Ya memang ada dalam perancangan kami. InsyaAllah awal Februari kami akan terbang ke Thailand untuk menjalani perlawanan pra-musim.

Kami mungkin akan bermain dengan dua atau tiga pasukan dari Thai League 1. Kelab mana yang kami akan bertemu, kami tidak boleh dedahkan lagi buat masa ini tapi kami jangka akan dapat satu atau dua perlawanan yang mampu beri kami saingan sengit,”

katanya.

Dalam pada itu, Aladdin juga tidak menolak kemungkinan akan menambah jumlah pemain import skuad Gergasi Merah dalam masa terdekat ini berikutan ketika ini mereka hanya mempunyai lima pemain import.

“InsyaAllah akan ada penambahan muka baru dalam masa terdekat ini tapi saya tak boleh dedahkan lagi buat masa ini. Mungkin lapan atau mungkin kami akan penuhkan kuota sembilan pemain import.”

Walaupun tidak dapat mendedahkan identiti pemain yang akan dibawa masuk nanti, beliau bagaimanapun berkata pihaknya kini sedang melihat beberapa calon berpotensi dari negara Amerika Latin.

Beliau juga memberitahu untuk pemain tempatan pula, buat masa ini tiada penambahan pemain tempatan, namun jika ada pihak mereka akan umumkan dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, Aladdin juga memaklumkan bahawa pelancaran jersi Selangor home untuk musim 2023 akan dilancarkan pada hujung Januari ini.