Indonesia ‘sentap’ tak dipelawa sertai Pestabola Merdeka

5,466

Sejak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan akan menganjurkan semula kejohanan Pestabola Merdeka ke-42 telah mencetuskan keterujaan ramai termasuk pasukan negara jiran.

Ini kerana kejohanan yang mula diperkenalkan pada 1957 itu adalah antara kejohanan bola sepak yang pernah dianggap paling berprestij di rantau Asia Tenggara dengan kali terakhir ia dianjurkan pada tahun 2013 yang mana ketika itu Malaysia berjaya menjadi juara.


Bagaimanapun, untuk pengajuran kali ke-42 ini FAM tidak akan menggunakan format seperti kejohanan terdahulu sebaliknya hanya akan menjemput empat negara sahaja untuk menyertai kejohanan kali ini.

Empat pasukan yang disasarkan adalah Vietnam, Thailand, Syria atau Palestine berikutan keempat-empat pasukan ini menduduki ranking lebih tinggi dari Malaysia.

Kejohanan ini dianjurkan sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang kejohanan Piala Asia 2023.

Walaupun masih belum ada pasukan yang mengesahkan diri, namun pasukan yang tiada dalam jemputan sebelum ini iaitu India telah mengesahkan bahawa mereka akan menyertai Pestabola Merdeka.

Perkara itu disahkan sendiri Setiausaha Agung Persekutan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Shaji Prabhakaran yang mengakui sudah menghubungi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk mengesahkan tempat mereka.

Pengumuman kembalinya kejohanan Pestabola Merdeka ini turut mendapat perhatian media negara jiran Indonesia yang tampak seperti ‘sentap’ atau terasa hati apabila skuad Sang Garuda tidak dijemput.

Skuad bimbingan Shin Tae-yong juga layak ke Piala Asia 2023, sekaligus media di negara itu mempertikaikan mengapa Vietnam dan Thailand mendapat jemputan, tetapi mereka tidak dapat.

Indonesia bukan asing dalam kejohanan Pestabola Merdeka kerana mereka pernah berjaya muncul juara sebanyak tiga kali iaitu pada 1961, 1962 dan 1969.

Beberapa tajuk utama berita sukan di negara itu juga memperlihatkan mereka seperti berkecil hati apabila menulis Indonesia tidak diundang kerana bukan standard Asia termasuk mempersoalkan adakah Indonesia tidak cukup kuat di mata Malaysia.

Apa sekali pun keputusan yang dibuat oleh FAM sudah semestinya ia demi kebaikan skuad negara, oleh itu diharap Indonesia tidak berkecil hati kerana Malaysia sasar untuk memperbaiki rekod di Piala Asia, jadi mereka perlukan lawan yang lebih berkualiti.