MFL mahu selaraskan kalendar Liga Malaysia ikut kalendar AFC bermula musim 2024 – Stuart Ramalingam
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya sedang mengkaji kemungkinan untuk menyusun kalendar Liga Malaysia mengikut kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bermula musim 2024.
Katanya, 2024 adalah musim yang sesuai untuk melaksanakan perubahan itu memandangkan jadual liga akan dipengaruhi oleh kejohanan Piala Asia yang dijangka pada Januari tahun depan.
“Tahun depan kita ada kejohanan Piala Asia yang dijangka tamat pada Februari jadi kita perlu susun waktu permulaan Liga Malaysia musim 2024, dan penghujung musim mungkin akan terlajak sehingga ke 2025.
Jadi kami lihat ini adalah masa sesuai untuk mengubah kalendar Liga Malaysia mengikut kalendar AFC,”
katanya.
Katanya, perkara itu sedang dikaji oleh Unit Pertandingan MFL dan akan dipertimbangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah serta pasukan-pasukan dalam liga.
Menurutnya, sekiranya kalendar liga tempatan tidak mengikut kalendar AFC, ia boleh menjadi satu kekurangan buat pasukan Malaysia yang bertanding di kejohanan AFC.
Namun, pihaknya juga harus mengambil kira beberapa isu seperti cuaca di negara ini serta bencana alam yang mungkin berlaku.
“Walaupun kita tak ubah jadual Liga Malaysia, masalah seperti bencana alam tetap berlaku jadi saya rasa kita boleh hadapi isu itu.
Jika kita tak ubah kalendar Liga Malaysia ia boleh menyukarkan pasukan Malaysia yang beraksi di peringkat Asia kerana kejohanan AFC akan berlangsung sebelum liga bermula.”
Justeru, pihaknya merasakan adalah penting untuk mengubah kalendar Liga Malaysia secara berperingkat bermula musim 2024 supaya tidak ketinggalan.