Stadium Shah Alam yang baru sesuai anjurkan konsert, SNBJ boleh fokus untuk acara sukan selepas ini

1,102

Menteri Besar Incorporated (MBI) telah memperkenalkan reka bentuk Stadium Shah Alam yang baru menerusi sebuah video ‘teaser’ di laman sosial mereka.

Stadium baru itu dijangka akan menjadi rumah baru untuk pasukan Selangor FC (SFC) dan ianya pasti akan mengujakan peminat kelab itu.


Stadium ini dikatakan akan menggunakan ‘retractable pitch’ di mana ianya boleh ‘disembunyikan’ untuk bertukar daripada mod sukan kepada mod dalaman yang sesuai untuk penggunaan lain seperti konsert.

Stadium yang serba canggih ini akan mempunyai kapasiti kira kira 35,000 hingga 45,000 tempat duduk untuk para penonton, menonton sebarang acara sukan terutama untuk penyokong The Red Giants.

Stadium Shah Alam juga akan memiliki papan skor elektronik, ruang legar mesra orang kelainan upaya (OKU), ruang korporat dan bilik persalinan yang akan memudahkan semua pengguna termasuk para pemain.

Selain itu, stadium ini juga akan dilengkapi kawalan kelembapan dalaman serta sistem penyejukan tempat duduk yang akan memberi keselesaan buat para penonton.

Mungkin selepas ini Stadium Shah Alam boleh digunakan untuk menganjurkan sebarang konsert artis tempatan mahupun antarabangsa kerana stadium itu mempunyai ‘retractable pitch’ sekaligus tidak akan merosakkan permukaan padang.

Umum mengetahui yang sebelum ini pernah berlaku kekecohan apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) digunakan untuk konsert dan ramai pihak terutama penyokong bola sepak tempatan amat berang dengan kejadian itu.

Terdahulu, peminat bola sepak tempatan berang kerana SNBJ hanya mampu menjual 59,000 tiket sahaja untuk aksi separuh akhir Piala AFF 2022 Malaysia lawan Thailand kerana ingin memberi ruang untuk pemasangan pentas konsert artis Taiwan, Jay Chou.

Jadi untuk mengelak perkara seperti itu berulang, Stadium Shah Alam mungkin boleh digunakan untuk sebarang penganjuran konsert pada masa hadapan.

SNBJ tidak perlu lagi digunakan untuk seberang penganjuran konsert dan biarkan stadium itu fokus pada penganjuran acara sukan sahaja seperti kempen Piala AFF tempoh hari.

Stadium Shah Alam sememangnya dari dulu lagi sinonim dengan penganjuran konsert, jadi tidak hairan jika pada masa akan datang konsert akan dianjurkan di situ.

Untuk rekod, Stadium Shah Alam juga pernah menganjurkan konsert dan antara artis yang pernah melakukan konsert di stadium itu ialah kumpulan XPDC, Bon Jovi dan Maroon 5.