Zamsaham mahu beli pesawat persendirian untuk Kelantan FC

2,900

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memasang cita-cita untuk membeli sebuah pesawat persendirian untuk kelab itu di masa hadapan untuk memudahkan pergerakan pasukan.

Beliau merasakan, memiliki sebuah pesawat persendirian adalah lebih menjimatkan kos berbanding menggunakan pesawat komersil apabila setiap kali pasukan mahu melakukan pergerakan jarak jauh seperti ke Sabah dan Sarawak.


“Kita memang ada impian untuk memiliki pesawat persendirian satu hari nanti, bukanlah yang baru tetapi yang terpakai dan saya sudah berhubung dengan seseorang untuk bertanyakan harga.

Tetapi bukanlah dalam masa terdekat, kerana apa yang penting adalah kita selesaikan perkara asas dahulu seperti padang dan pusat latihan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya, selain daripada menjadi pengangkutan untuk pemain, pesawat berkenaan juga boleh digunakan sebagai salah satu sumber kewangan kelab melalui sewaan dan sebagainya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penerbitan aset digital antara Kelantan dan pitchIN.

Katanya, perkara itu boleh direalisasikan dengan sokongan kuat para penyokong, contohnya dengan meyumbang kepada aset digital kelab.

Menurut Zamsaham, beliau menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM50,000 ke RM100,000 melalui platform pitchIN tersebut, melalui satu aset digital di bawah ‘the Initial Exchange Offering platform’.

“Kita bercadang untuk kumpul dana sebanyak RM50,000 hingga RM100,000, jika dana diuruskan dengan baik saya percaya kita mampu bina sesuatu.

Para penyokong sendiri boleh terlibat dengan memberi idea apabila mereka menyumbang kepada aset digital kelab, kita akan lancarkan ini kelak.”

Dana yang dimiliki hasil daripada pengumpulan dana aset digital dalam kalangan penyokong juga akan memberi manfaat kepada mereka sendiri.

Zamasaham percaya kelab lain juga mampu melakukan perkara yang sama, terutama yang memiliki jumlah penyokong yang ramai dalam merancakkan lagi arena bola sepak tempatan.