Armin Maier sanggup lepaskan pasport Jerman, impi sarung jersi Harimau Malaya untuk Piala Asia

5,915

Pemain kacukan Malaysia-Jerman, Armin Maier mengakui sanggup melepaskan pasport Jerman untuk mewakili Malaysia satu hari nanti.

Beliau berharap urusan dokumentasi untuk menjadi rakyat Malaysia mampu dilengkapkan selewat-lewatnya tahun ini supaya beliau tidak mempunyai masalah bermain untuk Harimau Malaya.


“Semasa membesar budaya Malaysia sangat dekat dengan saya, sebab itu saya memang nak main untuk Malaysia, saya dah cuba lengkapkan proses dokumentasi ini sejak beberapa tahun.

Sasaran utama saya ketika ini adalah untuk mendapatkan pasport Malaysia dan saya harap dapat mewakili Malaysia untuk Piala Asia.”

Katanya kepada Harimau Malaya

Armin juga mengakui pada tahun 2018 beliau telah menolak untuk mewakili pasukan kebangsaan Singapura pada Piala AFF 2018 walaupun telah mendapat tawaran daripada ketua jurulatih Singapura ketika itu, Fandi Ahmad.

Hal ini kerana, beliau sedar jika dirinya sudah mula mewakili skuad senior Singapura, beliau tidak akan dapat mewakili Malaysia.

“Masa itu saya memang tidak mahu lepaskan pasport Jerman kerana saya ada cita-cita mahu di Eropah.

Apabila saya balik Jerman, saya baru mengetahui peraturan FIFA tentang pemain warisan, saya juga tahu atuk saya orang Johor sebab itu saya memilih untuk mewakili Malaysia.”

Menurut Armin, pada tahun 2019 beliau pernah mendengar  bahawa pihak Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) cuba untuk membantunya mewakili Malaysia untuk Sukan SEA.

Namun, setahun kemudian beliau mengetahui yang dirinya tidak berada dalam radar FAM.

Beliau berkata skuad kebangsaan ketika ini mempunyai ramai pemain warisan yang beraksi dengan amat baik untuk negara, jadi beliau harap dirinya mampu mengikut jejak langkah mereka kelak.