Stadium Shah Alam baharu siap 2026, akan guna rumput selain ‘cow grass’ – Dr Johan Kamal

1,626

Stadium Shah Alam yang baharu dijangka bakal siap dibina pada tahun 2026, dan boleh digunakan sepenuhnya pada tahun 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, perkara itu disahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan pemaju, MRCB dengan memberi jaminan bahawa padang di stadium tersebut tidak akan menggunakan cow grass.


“Kerajaan Negeri Selangor dan MRCB menjangkakan ia siap pada 2026, dan mungkin boleh digunakan pada 2027. Kita tahu MRCB merupakan antara pemaju terbaik di negara ini jadi kita yakin dengan reputasi mereka.

Buat masa ini masih awal lagi untuk tentukan rumput yang akan digunakan di stadium itu tetapi dua jenis rumput yang mungkin dipertimbangkan adalah Paspalum dan Zeon Zoysia,”

katanya.

Menurutnya, selain menjadi venue untuk perlawanan bola sepak, stadium itu juga bakal menjadi kawasan tumpuan masyarakat, dengan pelbagai aktiviti lain yang boleh dilakukan.

Katanya, Presiden Selangor, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Selangor yang mahu ‘menghidupkan’ stadium itu sepanjang tahun, bukan hanya ketika perlawanan sahaja.

Beliau berkata, reka bentung stadium tidak akan jauh berbeza dengan Stadium Shah Alam sebelum ini, kerana mahu mengekalkan identitinya.

“Saya difahamkan RMS sendiri mahu mengekalkan reka bentuk yang lama kerana ia mempunyai sejarah tersendiri dan begitu ikonik.

Jika terdapat perubahan sekalipun, ia mungkin tidak jauh beza dengan sebelum ini.”

Johan mengakui pelaburan yang dilakukan untuk membina stadium itu, sebanyak RM787 juta yang diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari sebelum ini adalah besar, tetapi beliau bercaya ia berbaloi.

Katanya, dengan pelbagai teknologi bertaraf dunia yang ada di stadium itu, ia masih mampu kekal relevan sehingga 50 tahun akan datang.