Selangor FC lebih kuat musim ini, tapi jauh lagi nak tamatkan dominasi JDT – Dr Johan Kamal

590

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengakui masih jauh untuk kelab itu menamatkan dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2023.

Beliau bagaimanapun yakin bahawa pasukan itu lebih baik daripada musim-musim sebelumnya berdasarkan penambahan yang dilakukan sebelum musim bermula.


“Saya percaya skuad musim ini boleh jadi lebih baik daripada musim depan, tetapi untuk hentikan dominasi JDT itu jauh lagi.

Sasaran kami masih lagi untuk layak ke Asia, musim lalu tak berjaya jadi kami harap boleh realisasikan musim ini, tak kisahlah dariapda slot liga, Piala FA atau Piala Malaysia,”

Menurutnya, Selangor kini sedang dalam proses untuk menandatangani seorang lagi pemain import untuk melengkapkan lapan pemain import keseluruhannya.

Katanya, sukar untuk mencari pemain import yang berkualiti memandangkan mereka terpaksa bersaing dengan kelab-kelab dari Arab dan Eropah.

“Ada seorang pemain sebelum ini yang tolak untuk bersama kami kerana jurulatih kebangsaan menghalangnya daripada menyertai Liga Malaysia, jika dia pergi juga mungkin tidak akan dipanggil dalam skuad kebangsaan lagi.

Itulah antara cabaran yang kami hadapi, bukan kerana liga kita tidak berkualiti tetapi tidak dikenali, mungkin kerana kurang promosi di luar negara.”

Beliau berkata, Selangor kini semakin berhati-hati apabila memilih pemain import selepas beberapa pemain yang tidak menjadi sebelum ini.

Katanya, banyak pemain yang sukar menyesuaikan diri sebelum ini sama ada dari segi cuaca, jenis rumput yang digunakan di Liga Malaysia dan lain-lain.

Justeru, pihak pengurusan kini melihat banyak aspek sebelum membuat keputusan untuk menandatangani seseorang pemain, dan lebih gemar kepada pemain daripada Amerika Selatan dan Afrika disebabkan cuaca dan kualiti padang yang seakan-akan sama dengan Malaysia.