Liga Singapura pun dah mula gunakan VAR pada musim 2023, Liga Super harus segera ‘catch up’

280

Singapore Premier League (SPL) semakin melangkah ke hadapan apabila bakal menggunakan teknologi Video Assistant Referee (VAR) bermula musim 2023.

Menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), penggunaan VAR di SPL telah diluluskan oleh pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas melalui penilaian terakhir.


Ini merupakan satu perkara positif buat arena bola sepak di negara itu serta wajar dipuji dan dicontohi oleh negara-negara lain di Asia Tenggara, khususnya Malaysia.

VAR kini sudah menjadi salah satu perkara penting dalam bola sepak kerana ia boleh mengurangkan kesilapan yang dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan di atas padang.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) mengesahkan bahawa teknologi tersebut bakal digunakan dalam Liga Malaysia, tetapi hanya seawal peringkat suku akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

Beberapa pengadil juga telah dihantar untuk mengikuti kursus latihan VAR untuk mempersiapkan mereka menggunakan teknologi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam sebelum ini berkata pihaknya akan terus memastikan kelangsungan penggunaan teknologi itu pada musim 2024, namun tidak mengesahkan ia akan digunakan dalam kejohanan Liga Super.

Selain Singapura, Thailand juga merupakan antara negara di Asia Tenggara yang sudah menggunakan VAR di liga tempatan, manakala Vietnam dan Indonesia sedang dalam proses untuk menggunakan teknologi itu.

Vietnam sebelum ini mengumumkan bahawa liga di negara itu bakal menggunakan teknologi VAR bermula musim 2023/24.

Sebagai antara negara bola seapk terbesar di Asia Tenggara, dan merupakan liga terbaik di rantau ini dari segi ranking MA Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Malaysia juga sepatutnya berada di hadapan dalam penggunaan teknologi itu.

Cadangan untuk menggunakan teknologi itu pada saingan Piala FA dan Piala Malaysia satu permulaan yang baik, tetapi pihak FAM dan MFL harus terus bergerak dengan lebih pantas supaya Liga Super tidak ketinggalan dengan liga-liga di negara jiran.

Liga Malaysia sememangnya tidak pernah lari daripada kontroversi melibatkan pengadil pada setiap musim, dan ia sedikit sebanyak mampu merendahkan kredibiliti liga.

Pada Piala AFF lalu pun, Malaysia beberapa kali dikecewakan oleh kontroversi melibatkan keputusan pengadil, jadi peminat bola sepak tempatan pastinya amat merasai betapa pentingnya teknologi tersebut, juga mengharapkan ia mampu diguna pakai di Malaysia.

Pada Piala Dunia 2022 Qatar lalu, pengadil daripada Singapura, Muhammad Taqi Aljaafari Jahari telah terpilih sebagai salah seorang Video Match Official (VMO) untuk kejohanan itu.

Antara faktor yang membuatkan beliau terpilih adalah disebabkan pengetahuannya mengenai VAR kerana pengadil di Singapura telah dihantar untuk mengikuti kursus mengendalikannya sebagai persiapan untuk musim 2023.

Kali terakhir pengadil daripada Malaysia dipilih untuk ke Piala Dunia adalah pada 2010 iaitu Subkhidin Mohd Salleh, secara tidak langsung menunjukkan bahawa kualiti pengadil di negara ini semakin ke belakang.

Pihak terlibat seharusnya membuka mata mengenai perkara ini dan berusaha untuk meningkatkan mutu pengadilan di negara ini, salah satunya adalah dengan penggunaan VAR.